Isnin, 29 April 2019 | 5:29pm
RUZIMI Mohamed @ Mahmood dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
RUZIMI Mohamed @ Mahmood dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

'Dulu orang kata saya tiada tangan sebab mencuri'

JOHOR BAHRU: Kegembiraan seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU) menghitung hari menunggu kelahiran cahaya mata sulung minggu depan, berganda apabila dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62, di sini, hari ini.

Ruzimi Mohamed @ Mahmood, 34, berasal dari Kota Bahru, Kelantan, mengambil kira-kira tujuh tahun bagi menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer di universiti berkenaan.

Beliau mempunyai kekurangan fizikal sejak dilahirkan iaitu tangan kirinya kudung setakat siku manakala kedua-dua kakinya hanya sehingga peha.

Walaupun cuma tangan kanannya normal, Ruzimi tidak berasa pergerakannya terhad dan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

“Masa sekolah dulu, orang kata saya tiada tangan sebab mencuri. Kadang-kadang orang cakap benda tidak elok dan kita nak marah tidak boleh.

“Bagi saya, pendidikan adalah cara terbaik bagi saya menutup mulut mereka,” katanya ditemui selepas majlis konvokesyen yang disempurnakan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Sokongan isteri, Quratul Ain Hasanan, 33, dalam memberi semangat dan membantu menguruskan perniagaan syarikat penerbitan buku interaktif pembelajaran bahasa isyarat Malaysia milik mereka turut menjadi perangsang.

Ruzimi mengakui OKU kerap dilihat seperti masyarakat kelas ketiga dan mentaliti itu perlu diubah dalam kalangan masyarakat.

“Saya mahu usaha ini menjadi semangat kepada mereka yang kekurangan dari segi fizikal untuk meneruskan pembelajaran dan mencapai apa yang diinginkan,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Sains (Keusahawanan Teknologi Maklumat) itu sentiasa menepati masa, tidak pernah putus asa dan membuat ulang kaji sebelum datang ke kelas.

Ruzimi turut menyifatkan pencapaiannya itu sebagai hadiah untuk anak lelaki yang bakal lahir tidak lama lagi.

“InsyaAllah, saya ingin meneruskan hasrat menjadi pensyarah dan mendidik golongan pelapis masa depan hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Majlis Konvokesyen UTM ke-62 menyaksikan 1,757 graduan diraikan, selain tiga tokoh negara menerima penganugerahan gelaran Profesor Emeritus dan graduan sulung Program Sarjana Bahasa dalam Komunikasi dan Budaya Digital.

Daripada jumlah itu, 227 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (741), Ijazah Sarjana Muda (741) dan Diploma (48), selain seramai 232 graduan antarabangsa dari lebih 30 negara turut dianugerahkan ijazah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X