Selasa, 30 April 2019 | 2:21pm
PAKAR Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi. - NSTP/Sairien Nafis

Mahkamah Tinggi benarkan saksi pakar dipanggil

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, membenarkan permohonan Pegawai Pengendali prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memanggil semula saksi pakar bagi memberi keterangan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan saksi berkenaan, iaitu saksi ke-24, Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi diberi peluang memberi penjelasan kerana saksi adalah pegawai yang membuat pemeriksaan awal dan harus menerangkan dapatan baharu yang diperolehnya.

Dengan keputusan terbabit, Ab Karim berkata, keputusan yang dibuat Koroner Rofiah Mohamad pada 22 April lalu, diketepikan.

Dalam keputusannya, Ab Karim mendapati terdapat kekhilafan yang dibuat pihak Koroner, apabila beliau menganggap prosiding inkues tidak berakhir sekiranya saksi berkenaan dipanggil.

“Saksi ke-29 (bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid) mempunyai kelebihan dan saksi ke-24 ketinggalan dari segi fakta dan ia perlu diperjelaskan kerana terdapat perkembangan baharu,” katanya.

Pada 22 April lalu, Rofiah menolak permohonan pegawai pengendali atas alasan saksi pakar itu sudah dipanggil dan diberi peluang membentangkan keterangan mereka berkenaan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat terhadap mangsa, rekonstruksi, dapatan penemuan serta laporan pakar di mahkamah.

Sementara itu, peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Wahab ketika ditemui berkata pihaknya akan memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Berita Harian X