Selasa, 30 April 2019 | 3:11pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong di Wisma Bapa, Petra Jaya, semalam. - Foto BERNAMA

Keputusan usul DUN Sarawak akan dibawa ke Kabinet

PUTRAJAYA: Sebarang keputusan berhubung usul Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengenai pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan akan dibawa ke Kabinet terlebih dulu untuk dipertimbang, sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata pertemuan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, semalam, bagi membincangkan usaha mengembalikan status dan hak Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu disifatkan amat baik.

“Bagi saya, ini satu perkembangan baik kerana kita dapat lihat DUN Sarawak mengambil langkah sama dengan DUN Sabah untuk adakan usul mengenai MA63 atau pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini satu pembukaan bagi saya untuk kita lihat secara keseluruhan apakah keputusannya nanti. Selepas itu, ia perlu dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan lagi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Kluster Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, JPM (Undang-Undang) kepada 152 pegawai dan kakitangan, di sini, hari ini.

Usul berhubung pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan akan dibahaskan selepas dibentangkan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di DUN Sarawak yang bersidang hari ini.

Pada 9 April lalu, usaha Kerajaan Persekutuan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan tidak berjaya kerana tidak mendapat majoriti dua pertiga berikutan Ahli Parlimen pembangkang dari Sarawak tidak mengundi, dengan alasan ia perlu dirujuk Jawatankuasa Pilihan Khas, DUN Sarawak atau kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 18 April lalu, DUN Sabah sebulat suara menyokong usul tergempar supaya pindaan Perkara 1 (2) dibawa semula ke Parlimen secepat mungkin.

Vui Keong berkata, secara keseluruhannya, isu berkaitan pindaan Artikel 1 (2) adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada status pada 1963 yang mana MA63 ketika itu sudah mengiktiraf Malaysia dibentuk daripada tiga entiti iaitu negeri Tanah Melayu dan negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

“Jadi, kembalikan status itu saja. Justeru, kita lihat apakah pakej yang mereka mahu bawa pada usul kali ini di DUN Sarawak,” katanya.

Berita Harian X