Selasa, 30 April 2019 | 9:06pm
RINA (empat, kiri) bersama sebahagian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pengkalan Minyak selepas melawat Projek Menaik Taraf Balai Raya Kampung Pengkalan Minyak, Ayer Molek. - Foto BERNAMA

Geran MPKK ditambah hingga RM100 juta

MELAKA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menambah jumlah peruntukan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sehingga RM100 juta berbanding peruntukan sedia ada tahun ini sebanyak RM50 juta, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, penambahan peruntukan itu bagaimanapun melihat kepada jumlah permohonan diterima daripada 15,441 MPKK di seluruh negara dan penilaian semula bajet KPLB pada pertengahan tahun ini.

Katanya, usaha itu bagi memastikan lebih banyak MPKK di seluruh negara dapat memanfaatkan geran itu bagi meningkatkan ekonomi penduduk melalui pelbagai aktiviti termasuk pertanian, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu, menceria dan mensejahterakan kampung serta menggerakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

“Setakat ini, kita melihat respon MPKK melalui permohonan geran itu sangat baik dan semakin meningkat berbanding satu dua bulan sebelum ini selepas kita mengadakan kursus induksi untuk MPKK bagi menjelaskan kepentingan geran ini.

“Kita tidak ragu untuk memohon Kerajaan Pusat menambah peruntukan awal berjumlah RM50 juta sehingga RM100 juta pada tahun ini bagi memastikan lebih banyak MPKK mendapat geran berjumlah RM10,000,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu, Rina meluangkan masa hampir sejam melawat Balai Raya Pengkalan Minyak di Ayer Molek sebelum ke Surau Kampung Bukit Pulau di Bukit Baru yang turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, sehingga 23 April lalu, lebih 50 peratus atau RM25.13 juta daripada peruntukan RM50 juta di bawah geran MPKK disalurkan ke seluruh negara menerusi kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima 482 permohonan MPKK di seluruh negara dengan 277 daripadanya diluluskan.

“Kita baru selesai mengadakan kursus induksi untuk semua MPKK kecuali di Sabah dan inisiatif itu membantu MPKK meningkat ilmu dalam pengurusan serta pentadbiran kampung dengan lebih baik.

“Melalui kursus induksi itu, MPKK diajar cara menyediakan kertas kerja atau perancangan membangun dan memajukan kampung, selain mendapatkan geran MPKK kerana kebanyakan mereka baru dilantik memegang jawatan itu,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, KPLB meluluskan peruntukkan RM5.42 juta untuk pembangunan masyarakat desa atau luar bandar pada tahun ini, meningkat lebih 40 peratus berbanding RM3.86 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Melaka memperoleh RM24.36 juta untuk melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk projek kemudahan sosial, jalan perhubungan desa, jalan luar bandar dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). – BERNAMA

Berita Harian X