Rabu, 1 Mei 2019 | 2:09pm

Perginya seorang permata ummah...

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri dan tokoh agama menyifatkan pemergian pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, sebagai kehilangan besar dalam pembangunan Islam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, juga tidak ketinggalan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan syuhada dan solehin,” katanya melalui Twitter rasmi beliau.

Ciapan beliau kemudian diulang kicau oleh suaminya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menerusi Twitter rasmi beliau sebentar tadi, menganggapnya satu kehilangan permata ummah.

“Hiba mendengar berita pemergian permata ummah, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Abu Hassan Din al-Hafiz. Al-Fatihah,” katanya melalui Twitter.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pula berkata negara kehilangan ilmuwan Islam yang disegani dengan pemergian Allahyarham.

“Malaysia hari ini kehilangan seorang ilmuwan Islam disegani, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. KPM (Kementerian Pendidikan) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah!” katanya melalui Twitter.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata Allahyarham banyak menyumbang jasa dalam menyebarkan dakwah Islam.

“Pagi ini, saya mendapat berita yang pastinya membuatkan ramai bersedih apabila Al- Fadhil Ustaz Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz sudah dijemput kembali ke rahmatullah. Semoga dicucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya.

“Saya merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau. Beliau seorang yang banyak menyumbang jasa dalam menyebarkan dakwah Islam dan mendidik masyarakat. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran buat beliau. Al-Fatihah,” katanya dalam Facebook rasmi beliau.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut menzahirkan kesedihan atas pemergian Allahyarham.

“Sayu menerima khabar pemergian murabbi ummah, Al-Fadhil Ustaz Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, sebentar tadi. Saya mendoakan semoga Almarhum dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya melalui Twitter.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendoakan segala urusan berhubung Allahyarham dipermudahkan.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang meninggal dunia, pagi tadi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan saya mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Al-Fatihah,” katanya juga melalui Twitter.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, melalui Instagram rasminya, mengenang kembali kenangan bersama Allahyarham, suatu ketika dahulu.

“Menerima berita pemergian tokoh ilmuwan tanah air, Almarhum Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz ke rahmatullah. Saya mengenali beliau sejak kecil sebagai tokoh dakwah yang sangat berpengaruh.

“Masih jelas dalam ingatan, celoteh beliau dalam Forum Perdana Ehwal Islam, satu ketika dahulu. Dalam gelak tawa, ada nasihat serta kata hikmah yang pastinya menyegarkan minda dan hati,” katanya.

Allahyarham yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Berita Harian X