Rabu, 1 Mei 2019 | 7:37pm

Berita Malaysia disenarai dalam VWP Amerika Syarikat tidak benar

KUALA LUMPUR: Laporan media bahawa Malaysia disenaraikan dalam Program Pengecualian Visa (VWP) Amerika Syarikat (AS) adalah tidak benar.

Sumber Wisma Putra memaklumkan pihaknya sudah merujuk kepada Kedutaan AS di Malaysia yang memaklumkan berita itu tidak benar dan tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat negara itu mengenainya.

“Banyak pihak bertanyakan perkara ini kepada kami sejak berita itu disiarkan dan viral sejak pagi tadi, ia tidak benar,” katanya kepada BH hari ini.

Agensi berita AP hari ini melaporkan Jabatan Negara AS mengumumkan penambahan 10 lagi negara dalam senarai VWP iaitu Argentina, Uruguay, Sierra Leone, Afrika Selatan, Malaysia, Jamaica, Hong Kong, Seychelles, Pulau Cayman dan Georgia.

Laporan itu memetik kenyataan yang didakwa dikeluarkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, yang dipetik berkata sebaik saja ia berkuat kuasa, rakyat semua negara tersenarai dalam program perjalanan ke AS dibenarkan berada di negara itu sehingga 180 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan saja.

Mereka perlu memohon visa jika menetap melebihi 180 hari dan mengikut laporan itu, semua negara terbabit dikehendaki memohon kebenaran perjalanan menerusi Sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ESTA) dalam talian kira-kira tiga hari sebelum berlepas ke AS.

AP juga melaporkan bahawa mereka yang mempunyai dua kerakyatan perlu memohon visa jika pasport mereka dari Syria, Iraq, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Sejak 2016, pengecualian visa tidak terpakai kepada individu yang pernah masuk ke Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria atau Yaman pada atau 1 Mac 2011 atau untuk mereka yang mempunyai dua kerakyatan Iran, Iraq, Sudan atau Syria.

Beberapa kategori tertentu seperti, diplomat, tentera, wartawan, petugas kemanusiaan atau ahli perniagaan yang sah mendapat pengecualian visa daripada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri.

Pada November 2015, Malaysia menandatangani perjanjian meningkatkan kerjasama pencegahan dan pembanterasan jenayah berat (PCSC) dengan AS, yang menyaksikannya semakin hampir menyertai VWP AS.

Perjanjian PCSC adalah satu daripada dua dokumen penting sebagai tambahan kepada Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No. 6 (HSPD-6), yang juga prasyarat penting bagi penyertaan Malaysia ke dalam VWP AS.

Pada Februari tahun lalu, Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, dipetik berkata peratus penolakan permohonan visa AS bukan faktor mutlak yang dipertimbangkan bagi Malaysia memperoleh ‘lampu hijau’ terhadap VWP negara itu.

Menurut Lakhdhir, walaupun kelulusan permohonan visa AS dari Malaysia ketika ini berada pada peratusan tertinggi, Washington meneliti pelbagai faktor lain sebelum mengiktiraf mana-mana negara dalam senarai VWP.

Menurutnya, walaupun Malaysia menepati semua kriteria yang diperlukan, tiada penambahan mana-mana negara dalam senarai VWP AS pasca perubahan tampuk pentadbiran daripada Presiden Barack Obama kepada Donald Trump.

BH difahamkan sebarang kelulusan untuk menyenaraikan sesebuah negara dalam VWP AS perlu dibentangkan dan diluluskan di Dewan Kongres dan Senat AS sebelum boleh dikuatkuasakan.

Berita Harian X