Khamis, 2 Mei 2019 | 3:02pm

Visa ke AS kekal - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan tiada perubahan dalam status Program Pengecualian Visa (VWP) untuk rakyat Malaysia yang ingin melawat Amerika Syarikat (AS).

Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, rakyat tempatan yang ingin melawat AS masih dikehendaki memohon visa secara normal.

“Kementerian Luar ingin menjelaskan artikel bertajuk ‘US Adds Jamaica, 9 Other Countries to Its Visa Waiver Program’ (AS Masukkan Jamaica, 9 Lagi Negara ke Dalam Program Pengecualian Visanya) menerusi pautan berita news-ap.com mengandungi

maklumat yang tidak betul.

“Portal berita itu salah lapor dengan menyatakan Malaysia tersenarai di bawah program terbabit,” katanya.

Pihak kementerian menyeru supaya sebaran itu menerusi WhatsApp dan sebarang saluran sosial atau komunikasi lain dihentikan.

Semalam, sumber Wisma Putra ketika dihubungi BH memaklumkan pihaknya sudah merujuk kepada Kedutaan AS di Malaysia yang memaklumkan laporan media bahawa Malaysia disenaraikan dalam VWP AS itu tidak benar dan tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat negara itu mengenainya.

Agensi berita AP semalam melaporkan Jabatan Negara AS mengumumkan penambahan 10 lagi negara dalam senarai VWP iaitu Argentina, Uruguay, Sierra Leone, Afrika Selatan, Malaysia, Jamaica, Hong Kong, Seychelles, Pulau Cayman dan Georgia.

Laporan itu memetik kenyataan yang didakwa dikeluarkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, yang dipetik berkata sebaik saja ia berkuat kuasa, rakyat semua negara tersenarai dalam program perjalanan ke AS dibenarkan berada di negara itu sehingga 180 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan saja.

Mereka perlu memohon visa jika menetap melebihi 180 hari dan mengikut laporan itu, semua negara terbabit dikehendaki memohon kebenaran perjalanan menerusi Sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ESTA) dalam talian kira-kira tiga hari sebelum berlepas ke AS.

AP juga melaporkan bahawa mereka yang mempunyai dua kerakyatan perlu memohon visa jika pasport mereka dari Syria, Iraq, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Berita Harian X