Khamis, 2 Mei 2019 | 6:36pm
Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.
Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.

Tengku Maimun dilantik Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa mulai 2 Mei 2019.

Difahamkan beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara di Malaysia.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia setelah mendapat perkenan baginda,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan berikutan tamat tempoh perkhidmatan, Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu setelah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Richard Malanjum di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu dan sebelum itu sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.

Di peringkat awal, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.

Pada April 2011 hingga 7 Januari 2013 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor.

Kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.
Kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Berita Harian X