Sabtu, 4 Mei 2019 | 1:52pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto BERNAMA

Elaun PJM dalam belanjawan tahun depan

KUANTAN: Kertas kerja Majlis Veteran Kebangsaan yang mencadangkan pemberian elaun kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan memastikan pemberian elaun itu dimasukkan dalam belanjawan tahun depan yang akan dibentangkan Oktober nanti.

“Majlis Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersidang untuk kali kedua pada Februari lalu dan melalui mesyuarat itu, mereka meluluskan kertas kerja berkaitan cadangan ini kepada semua penerima PJM.

“Elaun ini diberikan secara bulanan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang sanggup berkorban menentang pengganas komunis. Berdasarkan rekod yang kita ada, terdapat kira-kira 60,000 bekas pegawai dan anggota kita yang layak menerima PJM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Pahang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 310 veteran ATM dari negeri ini menerima pingat dan 19 persatuan veteran menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Pertahanan.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sementara itu, mengulas mengenai Bantuan Harapan Negara (BHN) 2019 yang sudah diluluskan Kabinet, Mohamad berkata, pembayaran akan mula dibuat pada 27 Mei ini kepada 159,368 penerima.

Katanya, pengagihan BHN membabitkan peruntukan berjumlah RM79.68 juta dan bantuan itu diharap dapat membantu meringankan bebanan veteran ATM menghadapi kenaikan kos sara hidup dan persiapan sambutan Hari Raya.

Berita Harian X