Sabtu, 4 Mei 2019 | 5:20pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) merasmikan booth Tourism Malaysia sempena Arabian Travel Mart di Dubai, baru-baru ini. - Foto ihsan MOTAC

MOTAC jalin kerjasama dengan Air Arabia

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka menerima kedatangan lebih ramai pelancong Arab menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM2020) apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan tambang rendah, Air Arabia.

MoU dimeterai MOTAC melalui Tourism Malaysia dengan syarikat penerbangan itu yang beroperasi di Asia Barat dan Afrika Timur pada Arabian Travel Mart (ATM) 2019 yang berlangsung di Dubai, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata ia satu lagi kejayaan MOTAC dalam menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan luar sejak setahun lalu.

Langkah itu, sekali gus, katanya, meningkatkan perhubungan laluan udara yang sebelum ini menjadi antara kekangan dalam usaha membawa lebih ramai pelancong sempena TMM2020.

“Susulan MoU yang ditandatangani pada ATM di Dubai, Air Arabia akan terbang terus setiap hari dari Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Kuala Lumpur, mulai 1 Julai nanti,” katanya kepada BH.

Memeterai MoU itu, Tourism Malaysia diwakili ketua pengarahnya, Datuk Musa Yosuf manakala Kumpulan Air Arabia oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Adel Al Ali.

Sebelum ini, MOTAC menjalin kerjasama dengan empat syarikat penerbangan iaitu TUI Air, Indigo Airlines, Qatar Airways dan Condor Airlines bertujuan menggalakkan kesalinghubungan yang lebih baik antara Malaysia dan pelbagai negara di dunia.

Condor Airlines akan menyokong operasi penerbangan sewa khas bagi laluan Frankfurt-Kuala Lumpur dan Indigo Airlines bagi membawa pelancong dari India, manakala Qatar Airways bagi penerbangan terus dari Eropah ke Langkawi dan Kota Kinabalu.

Malaysia menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong sempena TMM2020 yang dijangka mampu menjana pendapatan bernilai kira-kira RM100 bilion daripada industri pelancongan.

Berita Harian X