Sabtu, 4 Mei 2019 | 5:44pm
KUALA LUMPUR 04 MEI 2019. Peserta himpunan berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sogo pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Gerakan Pembela Ummah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Hampir 3,500 peserta himpunan di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penganjur Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini, tidak menyertakan notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Seramai 3,500 individu menyertai himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan diselia UMNO dan PAS itu.

Peserta mula berkumpul di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, jam 2 petang sebelum berarak ke hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman, dan himpunan itu berakhir jam 3.30 petang akibat hujan lebat.

Perhimpunan turut disertai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Peguambela yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Beberapa gabungan NGO bersama peserta berkumpul di hadapan Masjid Jamek dan bergergak ke Kompleks Sogo pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Gerakan Pembela Ummah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah, berkata pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dan mengadakan pertemuan dengan penganjur.

“Bagaimanapun setakat ini, penganjur tidak sertakan bersama notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, jadi ia (notis) dianggap tidak lengkap.

“Oleh itu, kita akan jalankan siasatan lanjut dan kita akan panggil penganjur sekiranya ada keperluan,” katanya yang ditemui selepas perhimpunan berakhir.

Beliau yang memaklumkan seramai 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk memantau dan mengawasi himpunan berkenaan berkata, berdasarkan maklumat awal, himpunan dihadiri kira-kira 3,000 hingga 3,500 peserta itu berlangsung dalam keadaan tenang dan aman tanpa sebarang perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Peserta himpunan berhimpun ketika hujan di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sogo pada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 anjuran Gerakan Pembela Ummah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

“Pada masa ini kita sedang membuat penelitian dan ambil kira maklum balas mengenai himpunan ini, selain mengkaji semula ucapan yang telah disampaikan.

“Sebaik segala penelitian selesai dijalankan, kami akan mengenalpasti segala isu berbangkit selain mengesan kesalahan ketika himpunan berlangsung sekiranya ada,” katanya.

Berita Harian X