Isnin, 6 Mei 2019 | 3:57pm
DR MASZLEE (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor (dua, kanan) dan Pengurus Besar ITBM Sakri Abdullah (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Bersama Pos Malaysia sempena kempen #MALAYSIAMEMBACA di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
DR MASZLEE (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Syed Md Najib Syed Md Noor (dua, kanan) dan Pengurus Besar ITBM Sakri Abdullah (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Bersama Pos Malaysia sempena kempen #MALAYSIAMEMBACA di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

ITBM tidak ditutup

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menolak dakwaan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan ditutup dengan fungsi terjemahan dan penerbitan buku dikembalikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, fungsi institut itu semakin berkembang termasuk menjalin kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad dalam menjalankan usaha menyediakan bahan bacaan berkualiti bagi menyemarakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

Sebagai permulaan, katanya, ITBM akan menyediakan bahan bacaan dan khidmat penterjemahan ITBM secara berperingkat di 13 pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.

“Itu laporan (ITBM akan ditutup) kena tanya media yang laporkan perkara itu, setahu saya ITBM semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kerjasama strategik antara Institut ITBM dan Pos Malaysia Berhad di Pos Besar Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, BH melaporkan ITBM akan ditutup dengan fungsi terjemahan dan penerbitan buku akan dikembalikan semula kepada DBP.

Ura-ura penutupan ITBM sudah mula diperkatakan sejak pertengahan tahun lalu berikutan masalah hutang berjumlah RM6 juta dialami agensi itu sejak empat tahun lalu.

ITBM juga terjejas dengan hutang rangkaian Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang dianggarkan mencecah RM3 juta.

ITBM ditubuhkan pada 14 September 1993 dengan nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bertujuan menyediakan prasarana penterjemahan di negara ini.

Ia kemudian diubah nama menjadi ITBM apabila menerima dana kerajaan sebanyak RM5 juta pada 2011 yang membolehkannya menerbitkan karya asli.

Sementara itu, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan akan menyiasat aduan ibu bapa mengenai penutupan kantin sekolah sepanjang Ramadan yang didakwa menyusahkan pelajar bukan Islam.

Katanya, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya dan meneliti aduan berkenaan.

“Saya akan melihat perkara perkara itu terutama sekolah yang buat aduan menerusi laman sosial secara terus kepada saya ,” katanya.

Berita Harian X