Isnin, 6 Mei 2019 | 7:10pm
KETUA Hakim Negara yang baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat pada sidang media di Istana Kehakiman, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
KETUA Hakim Negara yang baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat pada sidang media di Istana Kehakiman, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Cabaran Tengku Maimun galas tugas Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, menyifatkan antara cabaran yang akan dihadapinya sebagai ketua badan kehakiman adalah mengekalkan keyakinan rakyat dan menguruskan persepsi negatif umum terhadap badan itu.

Beliau berkata walaupun pada hakikatnya badan kehakiman melaksanakan peranannya dengan baik dan berintegriti, persepsi negatif tetap akan timbul.

“Dari segi persepsi, ia boleh jadi (mencabar), tetapi sebenarnya ia tidak begitu. Ia hanya persepsi.

“Secara jujurnya, media adalah salah satu sebab wujudnya persepsi negatif ini sebab kadangkala orang yang menulis itu tidak mempunyai pengetahuan sebenar dan ia kemudian menjadi viral.

“Justeru, media terutama media arus perdana harus memainkan peranan, laporkan perkara yang tepat,” katanya pada sidang media di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Tengku Maimun, 60, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei lalu, menjadikan beliau wanita pertama di Malaysia yang dilantik ke jawatan itu, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum, yang tamat perkhidmatan pada 12 April lalu.

Tengku Maimun berkata sesiapa saja yang menggalas tanggungjawab mengetuai badan kehakiman berdepan tugas berat, tiada kaitan sama ada mereka wanita atau masih muda.

“Bagi saya, gender bukanlah faktornya tetapi tekanan itu adalah atas dasar jawatan kerana ia menuntut tanggungjawab yang besar. Usia juga bukan isu pokok.

“Sama ada lelaki atau perempuan yang memegang jawatan ini, sama saja. Sebagai Ketua Hakim Negara, tanggungjawab itu harus dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Berhubung perancangannya selepas mengetuai badan kehakiman, Tengku Maimun berkata ketika ini beliau akan meneruskan segala reformasi yang dilaksanakan Malanjum sebelum ini.

“Terlalu awal untuk saya nyatakan perancangan saya. Saya mahu mengamalkan apa yang dilaksanakan Ketua Hakim terdahulu di mana keempat-empat kami (empat hakim tertinggi) akan membuat keputusan secara kolektif,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keperluan untuk seseorang hakim membuat penghakiman menentang (dissenting judgement), Tengku Maimun berkata ia bukan satu kriteria yang diperlukan dan tidak menjadikan seseorang hakim itu lebih baik daripada hakim yang membuat keputusan sebulat suara.

“Tentu sekali kriteria yang diperlukan adalah bebas, kebolehan untuk membuat keputusan berdasarkan keterangan dan fakta tanpa mengambil kira faktor lain.

“Tidak perlu selalu untuk berbeza pendapat. Kalau perlu untuk penghakiman sebulat suara, tidak bermaksud ia sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menafikan Ketua Hakim Negara perlu campur tangan dalam pemindahan hakim dan pegawai di mahkamah bawahan terutama yang tidak mengikut arahan, selain menafikan beliau sendiri pernah menerima arahan dalam memutuskan sesuatu kes.

“Apa yang anda dengar mengenai saya tidak betul. Selain itu, pemindahan hakim terutama di mahkamah bawahan, bukan skop tugas Ketua Hakim Negara. Ia tugas Ketua Pendaftar Mahkamah selepas perundingan dengan Hakim Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berita Harian X