Selasa, 7 Mei 2019 | 6:12pm

Penilaian Dr Mahathir cukup adil

PUTRAJAYA: Penilaian Tun Dr Mahathir Mohamad cukup adil, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya yang cukup panjang dan luas dalam selok-belok kepemimpinan kerajaan serta negara.

Itu dirumuskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika mengulas markah 50 peratus diberikan Perdana Menteri semalam yang menggambarkan prestasi barisan menteri Kabinet Persekutuan selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mengambilalih pentadbiran negara.

Dr Maszlee berkata, beliau menyambut baik penilaian itu setimpal pengalaman dimiliki pemimpin veteran berkenaan dalam kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri yang cukup panjang pengalaman mentadbir dan memimpin negara, saya kira beliau (Dr Mahathir) lebih tahu tentang apa yang beliau berikan markah kepada mana-mana pihak bila ianya berkaitan pencapaian negara.

“Pencapaian sedemikian bagi setahun yang pertama saya kira satu penilaian agak adil,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bersama warga Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, asal usul penubuhan program Matrikulasi pada 1999 adalah untuk meningkatkan bilangan Bumiputera dalam jurusan sains di universiti awam berikutan kurangnya penyertaan golongan itu dalam bidang sains, khususnya di alam pekerjaan.

Kenyataan Dr Mahathir semalam juga ada menyentuh mengenai sistem matrikulasi yang disifatkan sebagai ‘pintu belakang’ kepada orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

kerana ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi.

“Perdana Menteri mungkin merujuk kepada asal usul penubuhan program berkenaan ketika kenyataan itu dibuat. Mungkin itu yang dimaksudkan Perdana Menteri,” katanya.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penempatan ke program matrikulasi ditambah daripada 25,000 kepada 40,000.

Ini membolehkan penambahan tempat untuk pelajar bukan Melayu dan pada masa yang sama mengekalkan kuota pengambilan pada kadar 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera.

Dr Maszlee beramah mesra dengan sebahagian pelajar sekolah yang mewakili Malaysia dalam pertandingan Tarian Antarabangsa di Belanda pada Perhimpunan Keluarga Besar Menteri Pendidikan Malaysia di Kementerian Pendidikan, Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X