Rabu, 8 Mei 2019 | 4:25pm
REKTOR Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid. - Foto Danial Saad

KXP berpotensi jadi magnet pelaburan

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Kulim (KXP) berpotensi menjadi magnet pelaburan apabila siap sepenuhnya nanti, khusus dalam menarik pelabur baharu dalam sektor logistik dan kargo, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada rakyat.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid, berkata projek berimpak tinggi itu berupaya melonjak pertumbuhan sosio-ekonomi setempat, selain memberi impak secara sinergi.

Katanya, pembinaan KXP bakal melengkapkan kemudahan sistem rangkaian lapangan terbang antarabangsa dan domestik moden bertaraf dunia di negara ini.

“Melalui KXP, Kedah diharapkan mampu menyertai beberapa negeri lain yang berjaya mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi KDNK Malaysia iaitu 5.9 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

“Kedah akan menjadi negeri yang memiliki tiga lapangan terbang dan setiap satunya memiliki matlamat dan fungsinya tersendiri,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Selain KXP, Kedah turut memiliki Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dan Lapangan Terbang Alor Setar (LTAS) yang fokus bagi mengangkut penumpang serta pelancong ke negeri ini.

Bagaimanapun, Shaiful ketika mengulas lanjut berharap peneraju projek, KXP Airport City Holding Sdn Bhd mendapatkan pandangan pemain industri logistik dan kargo, serta mengumpulkan maklumat daripada penyelidik serta masyarakat setempat.

“Kesan pembinaan KXP terhadap pembangunan setempat juga perlu diteliti supaya faedahnya dapat dinikmati seperti kesan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terhadap pembangunan Sepang.

“Sudah pasti lebih banyak projek perumahan akan dibangunkan serta pelbagai kemudahan lain antaranya hotel, sistem pengangkutan, premis perniagaan sejajar pertambahan penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Logistik dan Pengangkutan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamal Imran Mohd Sharif berkata, KXP bakal menjadi pengimbang kepada perkhidmatan kargo di wilayah utara.

Katanya, KXP turut menjadi pelengkap bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menerusi penawaran perkhidmatan kargo dari kedua-dua lapangan terbang itu.

“Saya percaya pembinaan KXP dapat menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi industri kargo kerana Kulim adalah kawasan perusahaan yang terkenal. Bila fasiliti kargo udara dibangunkan, pertambahan kilang pasti rancak dan KXP bakal menjadi pelengkap antara kawasan pulau dan tanah besar.

“Sebagai contoh, industri kargo juga popular di kawasan perusahaan Juru, Seberang Perai dan mereka boleh ke Kulim tanpa perlu mengharungi kesesakan lalu lintas untuk ke Bayan Lepas,” katanya.

Pembangunan KXP juga, katanya, wajar dilihat dalam konteks positif kerana dapat merangsang ekonomi bagi wilayah utara untuk tempoh jangka panjang.

“Hasrat kerajaan adalah untuk meningkatkan ekonomi menerusi pertambahan pelaburan yang dapat memberi impak terhadap masyarakat.

“Kawasan sekitar semestinya akan lebih membangun dan penduduk setempat akan memiliki lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan masing-masing,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X