Khamis, 9 Mei 2019 | 1:52pm
ANTHONY Loke ketika sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ANTHONY Loke ketika sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MOT kekal keputusan pindaan cermin gelap

PUTRAJAYA: Peraturan baharu berkaitan penggunaan cermin gelap kenderaan yang diumumkan kelmarin, kekal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan itu juga bersandarkan kepada maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap pada Jun 2014.

Peraturan baharu itu membabitkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Loke berkata rumusan bengkel berkenaan untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing pada kadar 70 peratus serta 50 peratus masih dikekalkan.

“Kita masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit, sebaliknya pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang, selain bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa.

“Banyak kereta import, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun yang tidak melepasi piawaian (peraturan cermin gelap ditetapkan di negara) kita.

“Disebabkan itu, pemilik kenderaan import ini terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata ingin melepasi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berkuat kuasa semalam, penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 itu dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai, selain selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan.

Fi RM50 dikenakan terhadap setiap permohonan atas faktor keselamatan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan bayaran RM5,000 jika diluluskan, namun tiada caj dikenakan bagi permohonan susulan faktor kesihatan.

Loke mengulas bantahan beberapa pihak terhadap peraturan baharu itu termasuk Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, yang mendakwa ia akan menyukarkan penguatkuasaan selain mendedahkan polis tidak dipanggil bagi membincangkan perkara berkenaan.

Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) juga tidak senang dengan pindaan itu.

Peraturan sedia ada mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (pindaan 5 Februari 2016) memperuntukkan kadar ketelusan cahaya cermin depan ialah 70 peratus, cermin sisi pemandu (50 peratus), manakala cermin sisi belakang dan cermin sisi belakang penumpang (30 peratus).

Menyentuh pelaksanaan fi bagi sebarang kelulusan cermin gelap, Loke berkata, garis panduan berkenaan dilaksana demi menjana pendapatan negara, selain berupaya menangani risiko gejala rasuah.

Beliau berkata wujud sindiket didalangi orang dalam di pejabat Menteri Pengangkutan ketika pentadbiran terdahulu yang mengambil ‘upah’ menjangkau RM8,000 untuk mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan.

“Oleh itu, daripada kerajaan tidak dapat sesen pun ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, sebaliknya menguntungkan poket sesetengah pihak, lebih baik kita kenakan bayaran fi terhadap mana-mana yang ingin menggunakan cermin gelap susulan faktor keselamatan.

“Mengikut statistik, ada 17,186 permit penggunaan cermin gelap yang akan tamat tempoh, justeru pihak yang ingin memperbaharui mengikut pindaan baharu perlu membayar fi RM5,000 jika diluluskan.

“Kutipan daripada kelulusan yang tertakluk kepada proses saringan kendalian jawatankuasa dipengerusikan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shaharuddin Khalid ini dijangka menjana pendapatan negara membabitkan hampir RM85 juta,” katanya.

Mengulas aspek keselamatan, Loke berkata, Shaharuddin akan mengadakan pertemuan dengan PDRM bagi menyelaras beberapa perkara, termasuk usaha risikan dan pelaksanaan sekatan jalan susulan pindaan peraturan cermin gelap.

Susulan peredaran semasa, katanya, wujud cara lain yang berupaya menggantikan kaedah sedia ada untuk menjejaki penjenayah, termasuk penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi pengecaman wajah.

Loke berkata pindaan peraturan cermin gelap kenderaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, tetapi kementerian masih mengambil maklum balas polis sebelum melakukannya.

Berita Harian X