Khamis, 9 Mei 2019 | 8:43pm
Ahmad Faizal pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran WCE di Pejabat Menteri Besar Perak, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya

Tarikh pembukaan WCE diketahui 20 Mei ini

IPOH: Satu daripada tiga jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang membabitkan jajaran di negeri ini akan dibuka sebelum sambutan Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata keputusan rasmi mengenai penggunaan jajaran lain hanya akan diumumkan pada 20 Mei ini.

Beliau berkata kerajaan negeri yakin WCE dapat dibuka mengikut tempoh ditetapkan dan jajaran sejauh 1.9 kilometer (km) dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Aidilfitri.

“Satu pengumuman akan dibuat pada 20 Mei ini dan sekurang-kurangnya satu jajaran (Hutan Melintang ke Teluk Intan) akan dibuka sebelum Hari Raya dan sebolehnya kita dapat membuka lebih daripada satu jajaran bagi kemudahan pengguna melawat sanak saudara menjelang perayaan itu.

“Kita tidak boleh mendedahkannya sekarang dan apa yang pasti pengumuman itu memberi keadilan kepada rakyat dan apa-apapun kena tunggu 20 Mei ini untuk pengumuman secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran WCE di pejabatnya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong, berkata tiga jajaran yang membabitkan negeri Perak dianggarkan sudah siap antara 94 hingga 96 peratus.

Katanya, pihaknya yakin tiga jajaran itu mampu disiapkan jika dilihat secara fizikalnya namun keputusan sama ada ia akan dibuka atau sebaliknya hanya akan diketahui pada 20 Mei ini.

“Bagaimanapun, bahagian terakhir projek berkenaan agak sukar sedikit kerana ia bergantung kepada agensi lain untuk mendapatkan gazet daripada Kerajaan Persekutuan, seperti warta had laju dan pematuhan keselamatan.

“Tanpa had warta Persekutuan dan pematuhan keselamatan, kita tidak boleh buka kepada orang awam. Itu adalah fasa terakhir dan kita akan umumkan pada 20 Mei ini sama ada ia siap atau sebaliknya,” katanya.

Berita Harian X