Jumaat, 10 Mei 2019 | 12:44pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (empat dari kanan) menerima dokumen rasmi penyerahan duameriam bersejarah daripada Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail (empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Semula Meriam kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Galeri Arkeologi USM, Gelugor - Foto NSTP/Danial Saad

Meriam di Padang Kota singkap sejarah

GEORGETOWN: Sejarah asal Fort Cornwallis yang dikenali sebagai Kubu Keamanan mungkin berubah berikutan penemuan lebih banyak meriam di kawasan berkenaan.

Pengarah Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata pihaknya percaya Fort Cornwallis yang terletak di Padang Kota di sini, mempunyai lebih 100 meriam, sekali gus mengesahkan ia adalah sebuah kubu pertahanan.

“Berdasarkan ekskavasi baru di tapak arkeologi Fort Cornwallis, kita jumpa begitu banyak peluru yang sudah digunakan, jadi ia memang kubu pertahanan sebenar, bukan sekadar simbolik.

“Malah, rekod asal sejarah Fort Cornwallis juga menunjukkan kota itu mempunyai 140 meriam, tetapi kita tidak tahu di mana dan berapa yang tinggal.

“Ketika ini, hanya ada 17 meriam yang dipamerkan di Fort Cornwallis, dua berada dengan kita, manakala dua lagi meriam saya difahamkan berada di sebuah hotel. Doakan kita dapat jumpa lebih banyak meriam lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dua Meriam Fort Cornwallis kepada kerajaan negeri di Pusat Arkeologi USM di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dr Mokhtar berkata, penemuan meriam dan beberapa alatan pertahanan lain bakal melengkapkan data sejarah awal Fort Cornwallis yang dibina British dan pernah diduduki oleh Jepun.

“Selain meriam, kita juga menemui laluan troli yang digunakan Jepun untuk mengangkut barang, dan ini akan melengkapkan lagi fungsi Fort Cornwallis yang sebenarnya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk membuka tapak arkeologi Fort Cornwallis sebagai satu tarikan baru kepada pelancong.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak USM bagi memastikan kawasan yang sesuai untuk dibuka kepada awam.

“Kerajaan negeri memang berhasrat untuk membuka kawasan di tapak arkeologi kepada pelancong, dan menempatkan kembali meriam terbabit di sana. Tetapi ia masih belum diputuskan bila dan di mana,” katanya.

Pada Februari tahun lalu, sekumpulan ahli arkeologi dan sejarah USM menemui dua meriam berkembar dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun, di tapak arkeologi Fort Cornwallis.

Meriam yang masing-masing berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter itu dipercayai digunakan pada era King George III, ditemui di tapak arkeologi seluas lebih 0.4 hektar.

Kerja arkeologi yang dijalankan USM sejak 2017 itu diluluskan Jabatan Warisan Negara bagi memulihkan kawasan dan terusan yang mengelilingi kota berusia 232 tahun berkenaan.

Terusan itu dipercayai dikambus pada 1922.

Berita Harian X