Ahad, 12 Mei 2019 | 5:41pm
Hantaran Syed Saddiq menerusi akaun Twitter rasminya.

Nak sebar dakwah 'membunuh', cari tempat lain - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kemudahan seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah zon larangan kepada mana-mana pihak yang berpegang kepada fahaman antivaksin di negara ini untuk menyebarkan dakyah mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menegaskan sebarang penganjuran seminar atau program yang bertujuan menyuntik fahaman sehingga mampu mengundang risiko kepada nyawa orang itu boleh dilakukan tempat lain, tetapi jangan membabitkan penggunaan kemudahan KBS.

“Jika nak sebarkan pengaruh bagaimana membunuh nyawa tidak berdosa, mereka boleh buat seminar di tempat lain. Saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku, khususnya di kemudahan milik KBS.

“Ada batas dalam kebebasan bersuara. Nak sebarkan dakwah yang boleh ‘membunuh’, cari tempat lain,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, @SyedSaddiq, hari ini.

Beliau mengulas poster penganjuran seminar realiti vaksin yang dijadual diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), dekat Bandar Tun Razak, Cheras, 19 Mei ini, dengan menampilkan dua panel wanita.

Seminar dengan yuran penyertaan RM40 seorang itu didakwa bakal menampilkan perunding kesihatan kebersihan minda dan perubatan sel, Dr Siti Aishah Mohamed Ali serta penulis dengan latar belakang pendidikan perundangan syariah, Nurul Hayati Abd Latif.

Kenyataan diutarakan Syed Saddiq turut disokong pelbagai pihak, termasuk Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, yang menyifatkan gerakan menyebarkan dakyah fahaman antivaksin di Malaysia tidak wajar dibiarkan berleluasa.

“Terima kasih YB @SyedSaddiq atas keputusan ini. Kami di #MedTweetMY menyambut baik keputusan ini dan akan menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh YB.

“Mereka ini tidak boleh dibenarkan untuk menyebarkan dakyah fahaman mereka kepada masyarakat. Syabas KBS!” katanya.

Berita Harian X