Isnin, 13 Mei 2019 | 3:07pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian seminar Program Food Bank Malaysia di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Hotel digalak sertai program kebajikan pengagihan makanan - Saifuddin

PUTRAJAYA: Pengusaha hotel di negara ini digalakkan menyertai program kebajikan berkaitan pengagihan makanan seperti Food Bank Malaysia bagi mengelak pembaziran terutama ketika bulan Ramadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kira-kira 15,000 tan metrik makanan dibazirkan setiap hari dan angka itu mencecah kepada 20,000 tan metrik pada bulan Ramadan.

Katanya, angka itu amat menakutkan memandangkan dalam menyambut Ramadan ini, harus diingat dan insaf bahawa masih ada segmen masyarakat di negara ini yang bergelut untuk mendapatkan makanan.

“Jadi, saya galakkan mereka ini (hotel) terbabit dalam program kebajikan terutama berkaitan mengagihkan makanan bagi mengelak pembaziran terutama makanan yang sudah dimasak dari hotel.

“Kita semua tahu ia (makanan dimasak dari hotel) disediakan oleh chef profesional yang mana jaminan kebersihan, keselamatannya dan persoalan halalnya terjaga.

“Jika mereka mahu membantu, kami di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui program Food Bank Malaysia boleh menyediakan data dan senarai penerima.

“Mereka boleh ambil inisiatif sendiri tanpa perlu kita kuatkuasa peraturan atau undang-undang kerana yang paling baik itu adalah jika ia datang daripada dorongan mereka sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Program Food Bank Malaysia di sini, hari ini.

Seminar anjuran Yayasan Food Bank Malaysia itu disertai 139 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, wakil Universiti Awam (UA), badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pengilang, pemborong, pengusaha makanan dan hotel.

Ia, antara lain, sebagai pentas perkongsian kepakaran dan pengetahuan mengenai program Food Bank yang dilaksanakan di luar negara termasuk Jepun dan United Kingdom (UK).

Saifuddin berkata setakat ini program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu berjaya memanfaatkan lebih 120,000 individu dari kumpulan B40 selain lebih 3,000 pelajar universiti awam (UA) dan ia mendapat komitmen 430 pasar raya di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata deraf pertama Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan program Food Bank sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan pihaknya yakin ia dapat dibentangkan di Dewan Rakyat menjelang hujung tahun ini.

Berhubung subsidi petrol secara bersasar, beliau berkata cadangan itu belum di bawa ke peringkat kabinet dan pihaknya masih memperhalusi beberapa perkara berhubung inisiatif itu.

Berita Harian X