Isnin, 13 Mei 2019 | 8:09pm

Rafizi sumbang wang kemenangan kes NFCorp kepada pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, memberi jaminan wang ganti rugi RM300,000 berikutan kemenangan rayuan kes tuduhan memfitnah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan NFCorp akan dikembalikan kepada rakyat.

Beliau berkata wang itu adalah sumbangan orang ramai pada Julai 2017 dan ia akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Lima dan universiti daripada golongan berpendapatan rendah yang mencapai keputusan cemerlang.

“Bagi pelajar Tingkatan Lima dan universiti, masing-masing akan menerima RM500 dan RM5,000 setiap seorang.

“Lagi RM110,000 yang diterima adalah kos guaman, ia akan diberikan kepada peguam Ranjit Singh (Tetuan Ranjit Singh & Yeoh), Razlan Hadri Zulkifli (Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau Sun dan Michele Navinder Kaur (Tetuan Sun & Michele).

“Mereka kendalikan tiga kes mahkamah berhubung skandal NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) secara percuma sejak 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Rafizi berkata pihaknya yakin plaintif akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat dan jumlah diarahkan tidak perlu dibayar sehingga selesai kes di mahkamah terbabit.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Arkib NSTP
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Arkib NSTP

“Jika ada pembayaran, jumlah itu akan disimpan oleh peguam dalam akaun amanah sehingga kes ini selesai pada peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Sekiranya kekal menang peringkat mahkamah itu, saya tidak akan mengambil satu sen pun daripada apa juga jumlah yang dianugerahkan oleh mahkamah akibat kes NFC ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat yang tidak jemu membantunya dalam pendedahan kes NFC sejak 2011.

“Proses mendapatkan kembali dana RM250 juta nampaknya lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Saya berharap tindakan memulangkan jumlah yang perlu dibayar oleh plaintif dalam bentuk hadiah pendidikan sebagai satu langkah awal ke arah mendapatkan kembali kesemua RM250 juta wang rakyat itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rafizi menang dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi terhadapnya, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohamad Salleh dan syarikatnya kerana memfitnah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Wira Kamaludin Md Said, membenarkan rayuan Rafizi.

“Kami sebulat suara bersetuju bahawa rayuan beliau mempunyai merit. Rayuan ini dibenarkan dengan kos,” kata Hakim Hamid Sultan.

Beliau mengarahkan Mohamad Salleh untuk memulangkan sejumlah RM300,000 termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang dibayar oleh Rafizi kepada beliau (Mohamad Salleh).

Hakim Hamid Sultan mengarahkan supaya Mohamad Salleh mengembalikan wang RM300,000 itu dalam tempoh 30 hari, yang jika gagal, akan dikenakan kadar faedah lima peratus setahun sehingga bayaran itu lunas.

Beliau juga mengarahkan Mohamad Salleh untuk membayar RM10,000 sebagai kos prosiding Mahkamah Rayuan dan RM100,000 kos prosiding di Mahkamah Tinggi selain menolak rayuan balas yang dikemukakan oleh Mohamad Salleh mengenai jumlah ganti rugi berkenaan.

Peguam Mohamad Salleh, Sarah Abishegam memohon keputusan penangguhan tetapi Hakim Hamid Sultan mengarahkan beliau membuat permohonan rasmi.

Pada 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Rafizi dengan mendakwa Naib Presiden PKR itu membuat pernyataan fitnah pada 7 Mac 2012, dalam sidang media di pejabat PKR, mengenai pembelian hartanah KL Eco City yang disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Rafizi.

Rafizi juga diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar kos RM100,000 kepada Mohamad Salleh.

Berita Harian X