Selasa, 14 Mei 2019 | 6:15pm
AZULITA pada sidang media di Menara LPP. - Foto Rosdan Wahid
AZULITA pada sidang media di Menara LPP. - Foto Rosdan Wahid

Pindaan mantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang

KUALA LUMPUR: Pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 pada 22 April dan berkuat kuasa 1 Mei lalu bagi memastikan Pertubuhan Peladang (PP) menjadi lebih dinamik dan berdaya saing.

Ia selaras hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas untuk mereformasikan kepemimpinan PP meliputi tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim, berkata pindaan dibuat secara teliti dan penambahbaikan kepada pentadbiran PP sebelum ini.

Katanya, agenda reformasi diketengahkan adalah anjakan yang akan membawa pergerakan PP ke arah dimensi baharu terutama dalam mentransformasi institusi peladang supaya lebih maju dan berdaya saing, di samping meningkatkan pendapatan dan taraf hidup 920,000 ahli peladang di seluruh negara.

Beliau berkata, LPP sebagai pendaftar semua PP di negara ini mengambil maklum bantahan daripada ahli peladang berhubung pewartaan berkenaan dan berkeyakinan tinggi agenda reformasi akan diterima masyarakat peladang demi memastikan institusi peladang kekal relevan.

“Pejabat Pendaftar sudah dan sedang dalam proses memberi taklimat dan proses libat urus dengan ahli PP setiap negeri bagi menjelaskan secara terperinci pindaan berkenaan supaya mereka memahaminya secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Menara LPP, di sini.

Azulita berkata, pindaan dibuat secara teratur berdasarkan punca kuasa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan diwarta serta dikuatkuasakan sewajarnya.

Beliau berkata, tindakan menyemak dan meminda perundangan berbentuk dinamik dan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian perundangan terhadap keperluan semasa.

“Pindaan ini adalah sejajar dengan pelan hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dilancarkan pada Februari lalu,” katanya.

Berita Harian X