Selasa, 14 Mei 2019 | 8:25pm
SALAHUDDIN ketika merasmikan Kempen ‘Berbuka Dan Bersahur Dengan Harumanis’ pada majlis Iftar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SALAHUDDIN ketika merasmikan Kempen ‘Berbuka Dan Bersahur Dengan Harumanis’ pada majlis Iftar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kempen berbuka, bersahur dengan Harumanis dilancarkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini melancarkan kempen berbuka dan bersahur dengan Harumanis, sempena musim pengeluaran mangga paling premium itu pada Ramadan kali ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata beliau sudah memberi arahan kepada agensi di bawah kementeriannya yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan sahur untuk menyajikan menu Harumanis.

“Saya juga sudah menyatakan kepada Kabinet kalau boleh semua jamuan kerajaan di sepanjang Ramadan ada menu Harumanis sama ada ketika berbuka puasa, moreh dan sahur,” katanya kepada media sempena Kempen Harumanis di Bulan Ramadan di Wisma Tani di sini, petang tadi.

Selain dimakan segar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan menu menarik berasaskan Harumanis seperti pulut mangga, jus, oat dan aiskrim mangga Harumanis yang sesuai dijadikan juadah berbuka puasa dan sahur.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beliau sudah meminta FAMA menubuhkan jawatankuasa khas untuk memastikan pengeluaran Harumanis dari Perlis tahun ini lebih terjamin dari segi pasaran.

“Saya gembira apabila diberitahu FAMA sudah membeli Harumanis gred A di ladang pada harga RM21, manakala gred 1,2 dan 3 mengikut kesesuaian dan saiz.

“Dengan harga RM21 di ladang yang dibeli oleh FAMA, saya rasa ia dapat memuaskan hati sebahagian besar pengusaha Harumanis,” katanya.

Beliau berkata, Harumanis juga kini bersedia untuk meneroka industri hiliran secara lebih meluas seperti menghasilkan minuman kordial bagi memastikan petani memperoleh harga munasabah setiap kali musim pengeluaran.

“Saya juga diberitahu tidak sukar sangat untuk menembusi pasaran Jepun dan negara lain, cuma isunya kadang-kala kita tak cukup dari segi bekalan.

“Jadi pada masa akan datang dengan teknologi baharu saya yakin ia dapat direalisasikan,” katanya.

Pada tahun ini, pengeluaran mangga Harumanis adalah 2,367.88 tan dengan keluasan bertanam 1,287.41 hektar dan luas berhasil pula 947.07 hektar.

FAMA juga mengatur jualan secara dalam talian melalui portal Agrobazaar Online di laman sesawang www.agrobazaar.com.my dengan harga tawaran dalam talian ialah RM100 sekotak seberat tiga kilogram.

Berita Harian X