Rabu, 15 Mei 2019 | 12:49pm
Young Mun Hong bersama bapa, Young Fook Wai dan ibu, Chee Mei Lee, memlerlukan bantuan untuk pembedahan jantung berlubang.

Bayi, remaja perlu bantuan pembedahan jantung

KUALA LUMPUR: Seorang bayi dan remaja lelaki yang menderita penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan segera.

Kos kedua-dua pembedahan itu adalah sekitar RM90,000.

Pemandu lori, K Veeran, 29, berkata anaknya Vinveera Rao yang berusia setahun dilahirkan dengan masalah jantung berlubang.

“Selepas dilahirkan, kami dapati Veeran sukar bernafas secara normal dan kukunya menjadi kebiru-biruan yang menandakan kekurangan oksigen dalam badannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, anak sulung bersama isteri, K Manemekhalah, 30, itu dikesan menghidap penyakit ventricular septal defect (VSD) selepas dilahirkan di sebuah hospital.

Vinveera Rao yang berusia setahun bersama bapa, K Veeran dan ibu K Manemekhalah ketika dirawat di hospital akibat jantung berlubang.

Pembedahan Vinveera Rao dijangka membabitkan kos RM50,000 di Hospital Gleneagles, di sini.

Sementara itu, Young Mun Hong, 14, turut menghadapi masalah sama yang memerlukan pembedahan yang dianggar membabitkan kos RM40,000.

Bapanya, Young Fook Wai, 48, bekerja sebagai pemasang jubin, berkata anak ketiganya itu sebelum ini pernah menjalani dua pembedahan jantung pada usia dua hari dan setahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan dihantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, No. 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Berita Harian X