Rabu, 15 Mei 2019 | 6:11pm
PENAUNG Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Undian bunuh diri dalam talian bukti tahap kesedaran mental rendah - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kejadian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang membunuh diri berdasarkan undian dalam talian pada 13 Mei lalu jelas menunjukkan betapa rendahnya tahap kesedaran kesihatan mental di negara ini.

Ia juga menunjukkan pengaruh negatif dan kesan media sosial dalam kalangan generasi muda yang masih kurang matang sehingga menyebabkan mereka mudah dipengaruhi.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata agensi berkaitan perlu membangunkan sistem amaran yang dapat membantu kumpulan netizen memaklumkan pihak berkaitan jika menemui sebarang unsur kecenderungan bunuh diri di media sosial.

“Berdasarkan kejadian remaja terbabit, tindakan membunuh diri itu berlaku sekitar lima jam selepas mangsa menaikkan status undian namun tiada sistem amaran untuk mencegah ia daripada berlaku.

“Jelas, mereka yang mempunyai emosi lebih mudah terpengaruh dan amat penting untuk mengenal pasti dan membantu mereka di peringkat awal sebelum merujuk mereka kepada doktor atau kaunselor terlatih jika masalah mereka sukar diselesaikan atau berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kasih sayang serta bimbingan keluarga amat diperlukan pada usia remaja yang dianggap kritikal dalam menghadapi cabaran hidup.

“Dalam insiden ini mangsa dipercayai terjun dari tingkat tiga rumah kedai di Padawan, Sarawak akibat masalah emosi serta keluarga dan membuat keputusan itu selepas 69 peratus rakannya di lnstagram menyokong keputusannya untuk membunuh diri melalui undian yang dimuat naik.

“Remaja itu dilaporkan mencatatkan tajuk utama ‘Sangat Penting, Bantu Saya Pilih D / L (mati atau hidup)’ dalam undian itu,” katanya.

Lam Thye, berkata beliau percaya kempen kesedaran kesihatan mental perlu dilaksanakan termasuk mengatasi stigma terhadap mereka yang mempunyai masalah mental.

Beliau berkata, kerajaan juga harus melatih lebih ramai kaunselor dan ahli psikologi untuk membantu mereka yang mengalami kemurungan dan masalah mental.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat lebih 500 orang membunuh diri atau cuba membunuh diri setiap tahun dalam tempoh empat tahun lalu.

Berita Harian X