Khamis, 16 Mei 2019 | 12:33am
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada sesi khas Kepimpinan Wanita dalam DRR pada Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, semalam. - Foto BERNAMA

Malaysia perkasa peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana - TPM

GENEVA: Malaysia akan terus berusaha untuk memperkasakan peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana untuk memastikan 100 peratus penduduk dilindungi dan mendapat manfaat daripada usaha pengurangan risiko dan pembentukan daya tahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendekatan Malaysia kepada pengurangan risiko bencana (DRR) adalah berpandukan kepercayaan bahawa peranan wanita penting dalam menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan dan berada dalam kesiapsiagaan yang lebih baik bagi menghadapi perubahan landskap bencana yang berterusan.

“Wanita adalah kumpulan di lapangan dan wanita yang mampu menggerakkan keluarga dan komuniti mereka jika diberi peranan, pengetahuan dan pemerkasaan yang sewajarnya.

“Wanita tidak sepatutnya dilihat sebagai mangsa semata-mata kerana seperti lelaki, mereka juga memiliki kemahiran dan kemampuan untuk mempersiapkan, memberi respon dan pulih dari bencana serta mengurus risiko dan membina ketahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi khas Kepimpinan Wanita dalam DRR pada Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di sini semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Pengurusan Bencana berkata, di Malaysia, peranan dan kepemimpinan wanita dalam DRR berkembang pesat, dan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang memegang jawatan pembuat keputusan di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah wanita.

Beliau berkata, Malaysia percaya bahawa wanita adalah tenaga kekuatan dalam pembinaan daya tahan DRR dan oleh itu, kerajaan akan memanfaatkannya untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus pembabitan wanita dalam perancangan pengurusan bencana dan program DRR.

“Justeru, Kerajaan Malaysia kini bekerjasama rapat dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tempatan kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita terbabit secara aktif dalam membina daya tahan dan DRR.

“Satu hasil daripada kesalinghubungan ini adalah perubahan reka bentuk tempat perlindungan sementara untuk bencana dan penyediaan makanan untuk ibu hamil dan wanita yang menyusukan anak serta mereka yang memerlukan perhatian khusus,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, bagi memperkasa dan menggalakkan wanita untuk terbabit secara aktif dalam DRR, akses mereka kepada pendidikan dan kemudahan kesihatan perlu dijamin.

Beliau berkata, dalam konteks ini, Kerajaan Malaysia melalui pelbagai mekanisme memastikan bahawa dasar diskriminasi yang menghalang akses wanita kepada pendidikan dan kesihatan dihapuskan sepenuhnya.

“Pada 2018, pencapaian pendidikan wanita kita lebih tinggi daripada lelaki. Tahun lalu, kadar enrolmen wanita dalam pendidikan tinggi adalah 48 peratus berbanding 38 peratus bagi lelaki.

“Sekiranya kita mengambil kira faktor jangka hayat untuk menunjukkan akses kepada kemudahan kesihatan, wanita pada umumnya hidup lebih lama daripada lelaki di Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata, purata jangka hayat untuk wanita di Malaysia bagi tahun 2018 ialah 77.2 tahun, iaitu 10 tahun lebih panjang berbanding lelaki. - BERNAMA

Berita Harian X