Khamis, 16 Mei 2019 | 2:25pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) mendengar taklimat daripada Pengarah Yayasan Kebudayaan Islam Geneva Fahad A. Sefyan (empat, kiri) ketika mengadakan lawatan ke pusat itu pada Rabu.Dr Wan Azizah sedang dalam lawatan kerja tiga hari di sini sejak Selasa untuk menghadiri Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR). - Foto BERNAMA

TPM lawat Yayasan Kebudayaan Islam Geneva

GENEVA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Yayasan Kebudayaan Islam Geneva dan bertemu dengan kepimpinannya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja tiga hari di sini sejak kelmarin untuk menghadiri Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR), disambut oleh Pengarah yayasan itu, Fahad A Sefyan dan Imam Noureddine Ferjani.

Dr Wan Azizah meluangkan masa 30 minit di premis merangkumi sebuah masjid, perpustakaan dan bilik darjah serta diberikan taklimat oleh Sefyan mengenai aktiviti yayasan itu.

Timbalan Perdana Menteri turut melawat bilik darjah yang menempatkan kanak-kanak mempelajari bahasa Arab dan Perancis, pengajian al-Quran dan pendidikan Islam.

Yayasan yang dirasmikan pada 1978 itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemahaman lebih baik mengenai nilai Islam serta menggalakkan integrasi umat Islam yang lebih baik di Geneva dalam masyarakat Switzerland. – BERNAMA

Berita Harian X