Khamis, 16 Mei 2019 | 4:42pm
Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Tuan Nawi Ismail (kanan) bersama Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019, Datuk Asariah Mior Shaharuddin menunjukkan trofi yang diperolehi pada Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2019 oleh Menteri Pendidikan di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Jalan Tun Dr Awang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Tokoh Guru Kebangsaan 2019 dapat 'hadiah' RM50

GEORGETOWN: Menerima ‘hadiah’ RM50 daripada seorang pelajar cemerlang yang mendapat tunjuk ajarnya, adalah antara pengalaman paling manis buat Nawi Ismail, 62, yang diumumkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2019.

Katanya, beliau menerima ‘hadiah’ itu awal tahun ini daripada seorang peserta kelas motivasi dianjurkannya di sebuah sekolah di Kemaman, Terengganu untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

“Dia kata saya beri inspirasi, tetapi seingat saya apa yang saya sampaikan hanyalah ucapan biasa. Saya tidak dapat ingat apa ayat sebenar yang dicakapkan sehingga membangkitkan motivasi pelajar terbabit.

“Namun, saya sering menyatakan tiada istilah pelajar lembab. Hanya ada pelajar lemah, tetapi rajin berusaha serta pelajar yang rajin, tetapi pemalas. Mungkin itu yang memotivasikan dia hingga berjaya mendapat 4A dalam STPM.

“Saya masih simpan RM50 itu dan ia antara pengalaman paling manis sepanjang saya bergelar guru,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Guru 2019 bertemakan ‘Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ di Pusat Konvensyen SPICE di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Nawi yang juga bekas Guru Cemerlang Gred Khas C, berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu selama 37 tahun, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, pada 1980.

Beliau kemudian dipindahkan ke Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Terengganu dan bersara pada 2017 sebelum meneruskan sumbangan sebagai penceramah motivasi kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, pula dinobatkan Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019.

Asariah menyifatkan kejayaan menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah pencapaian terbaik beliau sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Pendidikan.

“Saya berusaha untuk menaik taraf Maktab Perguruan kepada IPG supaya dapat menghasilkan guru berkualiti dan berkebolehan untuk memperbaiki standard pendidikan negara,” katanya.

Nawi dan Asariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000; loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Berita Harian X