Khamis, 16 Mei 2019 | 5:44pm
SEREMBAN 13 APRIL 2019. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun ditemui selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Dewan Serbaguna SJK (C) Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. STR/ADZLAN SIDEK.

Larangan Menteri berkempen waktu kerja: SPR sedia bincang dengan PH

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan mana-mana pihak bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk menambahbaik proses perjalanan pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata ia susulan perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, terutama membabitkan penggunaan aset kerajaan dan larangan anggota pentadbiran untuk berkempen semasa waktu pejabat.

“Tindakan ini adalah selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak, terutama yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya.

“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus serta berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Dr Mahathir menyatakan rasa tidak puas hati dengan peraturan SPR yang melarang anggota Kabinet menjalankan aktiviti berkempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya, yang seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja untuk berkempen selama 24 jam.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berbincang dengan SPR bagi pertimbangan pihak berkenaan supaya tiada sekatan ke atas menteri untuk berbuat demikian.

Azhar berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), SPR mengambil pelbagai tindakan untuk menambahbaik proses pilihan raya dan sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan.

Katanya, adalah menjadi matlamat SPR supaya semua penambahbaikan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan nanti dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih dan adil.

“Dalam konteks itu, penambahbaikan terhadap proses perjalanan pilihan raya yang tidak membabitkan pindaan undang-undang sudah pun dilaksanakan, manakala yang membabitkan pindaan undang-undang pula perlu kepada penelitian dan kajian lanjut SPR,” katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan penambahbaikan itu, SPR sudah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa.

Berita Harian X