Khamis, 16 Mei 2019 | 5:48pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menunjukkan peta kawasan Taman Rimba Kiara ketika sidang media berhubung isu taman itu di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

'Fasa pertama RUMAWIP siap 3 tahun jika TRK lulus'

KUALA LUMPUR: Fasa pertama Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun sekiranya projek pembangunan Taman Rimba Kiara (TRK) diluluskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun, berkata pelaksanaan fasa pertama itu mampu memenuhi janji kerajaan menyediakan kediaman baharu bagi generasi pertama dan kedua komuniti rumah panjang Bukit Kiara.

Bagaimanapun, katanya, perintah pembangunan (DO) dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada April 2017 merangkumi keluasan 4.8 hektar TRK dianggap terbatal.

“Ini kerana saiz projek ini dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak projek TRK di sini, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, pada sidang media berasingan hari ini dilaporkan berkata, isu pembangunan TRK akan dibentang ke Kabinet bagi memutuskan sama ada ia dibatalkan dengan pembayaran sejumlah pampasan kepada pemaju atau diteruskan pada saiz projek dikecilkan.

Beliau berkata, kertas cadangan penyelesaian isu TRK akan disiapkan dalam tempoh sebulan sebelum diketengahkan kepada Kabinet.

Zaizalnizam menjelaskan, kos dikeluarkan untuk membangunkan projek TRK setakat ini adalah sekitar RM155 juta, termasuk bayaran premium RM60 juta oleh YWP kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Sehubungan itu, beliau menjangkakan bayaran pampasan yang perlu dijelaskan kepada pihak berkaitan sekiranya projek TRK dibatalkan ialah sama ada lebih atau kurang daripada RM155 juta.

“Bayaran lain merangkumi kerja survei tapak projek dan urusan berkaitan yang dijalankan sebelum ini bagi mendapatkan DO daripada DBKL.

“Susulan pengecilan saiz projek, nilai pembangunan kasar (GDV) projek TRK turut mengalami penyusutan sebanyak separuh daripada perangkaan asal, iaitu RM3 bilion,” katanya.

Berita Harian X