Khamis, 16 Mei 2019 | 9:28pm
DR WAN Azizah berucap pada Rundingan Meja Bulat Peringkat Menteri bertajuk 'Risk-Informed Investment and Economics of DRR' pada Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Geneva. - Foto BERNAMA

TPM pelawa syarikat telekomunikasi bangunkan sistem amaran awal bencana

GENEVA: Syarikat telekomunikasi dipelawa mengambil bahagian dalam membangunkan sistem amaran awal bencana, yang akan membolehkan rakyat Malaysia mendapat pemakluman dan amaran menerusi telefon pintar masing-masing sebelum bencana melanda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga menteri bertanggungjawab berhubung pengurusan bencana berkata, pihaknya masih mencari cara terbaik untuk menjayakan usaha itu.

“Kami cuba mendapatkan kerjasama syarikat telekomunikasi kerana kini hampir semua orang memiliki telefon pintar.

“Maka jika anda ada sistem amaran awal bencana, ia boleh dilaksanakan,” katanya kepada BERNAMA dan RTM dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerjanya di sini, hari ini.

Lawatan tiga hari beliau yang bermula Selasa lalu adalah yang pertama ke Switzerland selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 12 Mei tahun lalu.

Agenda utama lawatan itu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR).

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya meninjau kemungkinan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menawarkan kelonggaran cukai buat syarikat terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X