Malaysia jadi tuan rumah WTC 2020

Jumaat, 17 Mei 2019 @ 4:47 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah Kongres Terowong Sedunia (WTC) 2020 dan Perhimpunan Agung Persatuan Pembinaan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa (ITA-AITES) ke-46 selama seminggu bermula 15 Mei tahun depan.

WTC 2020 bertemakan Inovasi dan Melestarikan Jaringan Global Bawah Tanah dijangka disertai lebih 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Pengerusi penganjur WTC 2020, Dr Ooi Teik Aun, berkata kongres terbabit bakal menjadi inspirasi dan menterjemahkan kejayaan Malaysia dalam pembangunan berkaitan terowong dan ruang bawah tanah sejak sekian lama.

“Dengan penyerahan bendera rasmi ITA-AITES kepada Malaysia semalam (kelmarin), negara akan menjadi tumpuan pakar dalam bidang membina terowong tahun depan.

“Malaysia sedia menawarkan pelbagai pengalaman yang kita miliki bermula daripada projek mega empangan, sistem jalan raya, pengangkutan dan banyak lagi.

“Malaysia sedia berkongsi pengalaman terutama dalam ilmu pembinaan terowong dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kongres yang akan berlangsung selama seminggu itu akan memberi tumpuan kepada pembentangan kertas kerja, kursus latihan membina terowong dan pameran oleh organisasi dari seluruh dunia.

WTC 2020 akan dikelolakan oleh Institut Jurutera Malaysia (IEM).

Malaysia sebelum ini dipilih sebagai tuan rumah WTC 2020 selepas memenangi bida menewaskan India dan Australia ketika Perhimpunan Agung ITA-AITES 2017 yang berlangsung di Norway.