Jumaat, 17 Mei 2019 | 5:03pm
KETUA Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo. - Foto Abdullah Yusof

JAKOA harap pembangunan turut pelihara khazanah setempat

IPOH: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berharap setiap program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di sekitar wilayah Orang Asli harus memelihara kehidupan dan khazanah warisan masyarakat setempat.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Juli Edo, berkata semua pihak harus mencari penyelesaian secara musyawarah dan muafakat dalam mengimbangkan kedaulatan undang-undang, pertimbangan moral, kemanusiaan dan keadilan.

Katanya, banyak kaedah dan pendekatan boleh digunakan sebagai panduan dan rujukan dalam menangani isu masyarakat Orang Asli seperti lunas keagamaan, keputusan mahkamah, undang-undang alam sekitar, Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta deklarasi dan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“JAKOA amat sedar undang-undang sentiasa di pihak kerajaan tetapi berharap supaya masyarakat Orang Asli tidak teraniaya dan terpinggir sehingga menjadikan mereka gelandangan di tanah air sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Perak merobohkan sekatan jalan menuju Hutan Simpan Air Cepam di Gerik yang dibina secara haram oleh penduduk Kampung Tasik Cunex, kira-kira lima bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam satu kenyataan semalam dilaporkan berkata kerja merobohkan sekatan berkenaan dilakukan pagi semalam, tanpa insiden tidak diingini.

Difahamkan, penduduk Orang Asli yang mendiami kampung berkenaan, melakukan sekatan jalan sejak Januari lalu bagi menghalang pengeluaran balak kerana mendakwa aktiviti pembalakan mencemarkan sungai di kawasan hulu dan berhampiran penempatan mereka.

Juli berkata, pembinaan sekatan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Cunex itu adalah untuk membantah kegiatan pembalakan dalam wilayah mereka kerana tidak mahu kehilangan tanah pusaka yang diwarisi sejak beribu-ribu tahun lalu.

Katanya, masyarakat kampung itu bertindak demikian atas landasan harga diri dan etnosejarah yang mengaitkan mereka sebagai keturunan langsung Orang Perak (Perak Man) yang berusia 13,000 tahun.

Beliau mengakui kegiatan pembalakan sering mengundang konflik di antara Orang Asli dan kerajaan kerana Orang Asli mempertahankan wilayah yang diwarisi sejak turun-temurun kerana tidak mahu kehilangan ‘tanah air’, maruah dan harga diri.

“Mereka juga ingin mengekalkan ekosistem dan asas kehidupan sosial dan budaya iaitu pandangan semesta, sistem nilai, keagamaan, ekonomi dan kepimpinan

“Tindakan ini bukan menentang pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan tetapi hanya berusaha untuk mempertahankan hak dan warisan masyarakat Orang Asli di penempatan berkenaan,” katanya.

Juli berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, sudah mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil Jabatan Perhutanan Hulu Perak dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Perak pada 18 Februari lalu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.

Katanya, dalam sesi itu juga, Waytha Moorthy memaklumkan akan membuat perbincangan lanjut dengan Ahmad Faizal, Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Perak, Jabatan Perhutanan Negeri dan agensi berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian yang harmoni.

“Dalam hal ini, JAKOA sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli amat mengambil peduli tentang hak asasi dan pembangunan masyarakat ini,” katanya.

Berita Harian X