Isnin, 20 Mei 2019 | 3:48pm
Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kiri) bersama anakandanya Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah (dua, kanan) berkenan mengacau bubur lambuk sempena lawatan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah); Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Rose Lena Lazemi (kanan). - Foto BERNAMA

Air tangan Raja Permaisuri Agong untuk Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah

KUALA LUMPUR: Ramadan tahun ini membawa kenangan indah bagi anak kebajikan Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengunjungi penghuni rumah berkenaan.

Kunjungan baginda bersama anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Atiyatullah diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong berkongsi air tangannya memasak bubur lambuk menggunakan resepi istimewa baginda sebagai juadah berbuka puasa untuk rumah perlindungan itu.

Baginda kemudian berangkat melawat kediaman rumah perlindungan itu yang menempatkan 117 kanak-kanak berbilang kaum yang kurang bernasib baik, berusia bawah 12 tahun.

Tunku Azizah turut menyampaikan bantuan kepada 100 penerima daripada rumah kebajikan itu sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB).

Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah menempatkan anak kurang bernasib baik daripada pelbagai latar belakang termasuk diabaikan, didera, dibuang, terbabit aktiviti mengemis serta perebutan hak penjagaan.

Mula beroperasi pada 1963, rumah kebajikan itu dirasmikan Raja Permaisuri Agong ketiga, Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail dan diwartakan tempat selamat bagi pemeliharaan serta perlindungan kanak-kanak mengikut Seksyen 54 Akta kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli Ismail berkata, kunjungan itu sememangnya dinantikan penghuni rumah itu dan kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka.

“Kami bersyukur kerana baginda sudi bertemu, malah kanak-kanak ini sangat teruja bertemu Raja Permaisuri Agong. Baginda juga amat prihatin dan meluangkan masa yang lama di bilik bayi serta banyak berinteraksi dengan kanak-kanak di sini.

“Raja Permaisuri Agong turut memberi nasihat dan pandangan kepada kami bagi mempertingkatkan perkhidmatan serta rancangan masa depan dari segi pendidikan dan kebajikan kerana bantuan awal penting untuk mereka berjaya,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X