Selasa, 21 Mei 2019 | 12:37pm
BOT terdampar di atas darat menjadi pemandangan biasa di muara Sungai Temoyong apabila air sungai surut. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BOT terdampar di atas darat menjadi pemandangan biasa di muara Sungai Temoyong apabila air sungai surut. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

EKSKLUSIF: Nelayan Langkawi 'letih' berperang dengan sungai cetek

LANGKAWI: Sungai cetek dengan mendapan lumpur serius khususnya di beberapa kawasan muara yang turut menjadi laluan ke jeti nelayan, sekian lama mengganggu industri perikanan di sekitar daerah ini.

Setiap tahun, ratusan ribu ringgit dibelanjakan khususnya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja mendalamkan muara sungai yang menjadi laluan masuk ke jeti nelayan, namun usaha itu tidak pernah mencukupi untuk menangani sepenuhnya masalah mendapan serius.

Langkawi mempunyai 17 muara sungai utama, dengan 13 daripadanya menempatkan jeti nelayan. Secara keseluruhan daerah ini mempunyai 29 jeti nelayan.

KEADAAN bot nelayan pantai tersadai akibat tersangkut pada lumpur kerana air sungai surut di Kuala Teriang, Langkawi. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KEADAAN bot nelayan pantai tersadai akibat tersangkut pada lumpur kerana air sungai surut di Kuala Teriang, Langkawi. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SITUASI menyedihkan ketika air surut di jeti Kuala Teriang apabila bot nelayan pantai terdampar di atas lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SITUASI menyedihkan ketika air surut di jeti Kuala Teriang apabila bot nelayan pantai terdampar di atas lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Lapan muara paling serius terjejas

Rekod JPS mengesahkan lapan muara yang menempatkan jeti nelayan pantai di seluruh daerah ini mengalami masalah mendapan ketara. Ia mendatangkan impak kepada operasi nelayan pantai khususnya ketika berlakunya air surut.

Lapan muara berkenaan ialah di Sungai Temoyong, Sungai Menghulu, Sungai Kelibang, Sungai Ranggut (Kuala Teriang), Sungai Kubang Badak, Sungai Kuah, Sungai Chenang dan Sungai Pengkalan Tepa, dengan jumlah nelayan pantai di semua lokasi melebihi 1,500 orang dan membabitkan hampir 1,000 bot.

Namun tinjauan BH ke beberapa muara sungai mendapati ancaman sungai cetek dan mendapan lumpur jauh lebih serius, apabila jumlah jeti nelayan yang mengalami masalah sama sebenarnya lebih daripada itu.

Di jeti Kuala Melaka yang menggunakan laluan muara Sungai Melaka sebagai contoh, lebih 200 nelayan pantai saban hari terpaksa bergelut dengan jadual ramalan pasang surut air yang menjadi panduan untuk keluar masuk jeti. Andai tersilap congak, hasrat nelayan untuk keluar ke laut menangkap ikan atau sotong hari itu terpaksa dilupakan.

Ini kerana tempoh empat jam sahaja masa yang ada untuk bot nelayan mudik keluar atau masuk jeti ketika air sungai benar-benar pasang dua kali sehari. Masalahnya, waktu pasang surut air tidak menentu kerana mengikut kitaran setiap hari, sepanjang tahun.

Sebagai contoh, jadual ramalan air pasang surut bagi Stesen Pulau Langkawi dikeluarkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk 10 Mei lalu, menunjukkan air pasang dengan kedalaman melebihi dua meter pada jam 3.14 pagi dan 3.27 petang. Waktu surut dengan kedalaman hanya 76 sentimeter (sm) pula pada jam 8.58 pagi dan 9.48 malam.

SITUASI menyedihkan ketika air surut di jeti Kuala Teriang apabila bot nelayan pantai terdampar di atas lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SITUASI menyedihkan ketika air surut di jeti Kuala Teriang apabila bot nelayan pantai terdampar di atas lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KEADAAN sungai cetek dan dasar yang diselaputi berlumpur di jeti Sungai Temoyong. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KEADAAN sungai cetek dan dasar yang diselaputi berlumpur di jeti Sungai Temoyong. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rutin harian congak jadual pasang surut air

Berpandukan jadual itu, waktu sesuai untuk nelayan mudik keluar atau masuk hanya empat jam antara 2.30 pagi hingga 6.30 pagi atau 2.45 petang hingga 6.45 petang sahaja.

Selain tempoh itu, bot langsung tidak boleh bergerak kerana semuanya terdampar di atas selut di sepanjang laluan sungai yang cetek.

Ada nelayan cuba mudik keluar atau masuk ke jeti ketika air surut untuk mencuba nasib, namun tindakan itu berisiko kerana mendapan selut akan masuk ke dalam enjin bot dan akan menyebabkan kerosakan. Kos baik pulih enjin pula bukan murah dan seringkali mencecah ribuan ringgit.

Tinjauan ketika air surut di Kuala Teriang pula mendapati tidak kurang 15 bot di sepanjang 300 meter laluan jeti terdampar di atas lumpur, dengan lebar alur sungai berkedalaman tidak sampai 50 sm hanya antara dua hingga tiga meter.

Hal sama dikesan di jeti Sungai Temoyong dan keadaan ini sangat mengganggu kerana ia menjadi pangkalan kepada 160 nelayan dan 65 bot.

KEADAAN laluan di jeti Sungai Temoyong di Langkawi yang cetek sehingga menyukarkan bot nelayan pantai untuk bergerak keluar atau masuk. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KEADAAN laluan di jeti Sungai Temoyong di Langkawi yang cetek sehingga menyukarkan bot nelayan pantai untuk bergerak keluar atau masuk. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SEBAHAGIAN bot nelayan di Kuala Melaka yang terkandas di atas lumpur kerana air sungai cetek. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SEBAHAGIAN bot nelayan di Kuala Melaka yang terkandas di atas lumpur kerana air sungai cetek. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Lebih 2,000 nelayan pantai terima kesan

Bagi Lebih 2,000 nelayan pantai terjejas pula, rata-rata mereka sudah letih ‘berperang’ dengan lumpur yang menjadi punca muara sungai cetek setiap kali ingin keluar ke laut atau kembali ke jeti.

Justeru itu, kerajaan digesa mengambil tindakan lebih konkrit untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah dihadapi, supaya mereka dapat bebas keluar masuk jeti sepanjang hari tanpa perlu risau dengan jadual pasang surut air.

Nelayan Kuala Melaka, Saad Hassan, 63, mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pembinaan benteng penahan ombak, dengan pelantar disediakan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Memang kos tinggi sikit, tetapi berbaloi dan selamat. Kalau nak korek (mendalamkan sungai) dulu pun pernah buat, tetapi masalahnya tak pernah selesai....kesannya pun tak tahan lama kerana apabila datang ombak, selut masuk balik dan memenuhi laluan jeti,” katanya.

Rakannya, Ali Chik, 55, berkata masalah lumpur menyebabkan enjin rosak apabila ada nelayan meredah masuk ke jeti kerana tidak sanggup menunggu air kembali pasang.

“Bayangkan nelayan pulang menangkap ikan, tetapi tak dapat masuk ke jeti sebab air dah mulai surut. Apabila redah masuk, enjin bot rosak dimasuki lumpur dan kos sekali baiki sampai beribu ringgit. Kami harap kerajaan dapat buat bagi elok laluan masuk bot nelayan, biar kami semangat nak bekerja,” katanya.

SEBAHAGIAN daripada lebih 200 bot nelayan di Kuala Melaka yang terkandas dan tidak dapat keluar ke laut. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SEBAHAGIAN daripada lebih 200 bot nelayan di Kuala Melaka yang terkandas dan tidak dapat keluar ke laut. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Risiko bot rosak akibat lumpur, ombak

Nelayan Kuala Teriang, Che Aziz Hassan, berkata masalah ketara waktu keluar ke laut kerana nelayan terpaksa bergantung kepada pasang surut air.

“Kita ambil contoh nak keluar tangkap sotong, biasanya dalam jam 6 petang kami sudah sedia untuk keluar sebab tangkap sotong ni waktu malam. Masalah timbul apabila air surut jam 7 petang, jadi kami terpaksa keluar seawal 1 tengah hari lagi iaitu lima jam lebih awal untuk mengelak terkandas.

“Dengan meninggalkan bot di tengah laut sampai 5 jam, bayangkan apa akan jadi kepada bot kalau ombak besar datang dan ribut yang melanda. Keadaan ini memang selalu berlaku.

“Itu dilema kami sebagai nelayan...kalau tak keluar awal, kami terpaksa tunggu jam 10 atau 11 malam pula untuk air pasang. Kalau lewat begitu, baik kami tak payah keluar terus,” katanya.

Bagi Basri Ali, 47, pula dirinya tiada halangan jika nelayan pantai dipindahkan ke kawasan berhampiran dengan dibina pelantar lebih elok yang tidak terkesan pasang surut atau mendapan lumpur, berbanding nasib yang tidak menentu akibat masalah air cetek itu.

Pulau Langkawi mempunyai 17 muara sungai utama dengan 13 daripadanya menempatkan jeti nelayan. Secara keseluruhan pulau ini mempunyai 29 jeti nelayan.

Berita Harian X