Selasa, 21 Mei 2019 | 1:05pm
PROF Datuk Dr Musa Ahmad

Jangan polemikkan isu tambahan matrikulasi

NILAI: Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad berharap tiada lagi pihak mempolemikkan isu pertambahan tempat untuk program Matrikulasi yang diputuskan JemaaH Menteri, baru-baru ini.

Beliau berkata, statistik pada tahun 2018 menunjukkan 25,000 pengambilan setiap tahun iaitu 22,500 Bumiputera dan 2,500 kuota untuk bukan Bumiputera.

“Walaupun dasar semasa menetapkan penempatan untuk pelajar bukan Bumiputera seramai 2,500, tetapi berlaku pertambahan sebanyak 1,568 pelajar menjadikan 4,068 pelajar iaitu lebih daripada kuota ditetapkan.

“Data ini menunjukkan kementerian memberi ruang dan peluang lebih kepada pelajar bukan Bumiputera mendapat tempat dalam program Matrikulasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan pertambahan 15,000 tempat untuk program Matrikulasi diputuskan Jemaah Menteri, tidak akan menjejaskan pengambilan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke pengajian ijazah pertama di universiti awam (UA).

Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya mengamalkan prinsip meritokrasi bagi pemilihan pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mengulas lanjut, Dr Musa berkata, banyak peluang untuk pelajar lepasan menengah melanjutkan pelajaran dalam program persediaan, termasuk Tingkatan Enam yang mendapat bantuan penuh kerajaan.

Selain itu katanya, pelajar boleh memohon menyertai program persediaan di universiti awam dalam Program Asasi atau bagi yang berkemampuan boleh meneruskan pelajaran pada peringkat A Level.

“Peluang melanjutkan pelajaran ke politeknik dan Kolej Komuniti juga terbuka luas, tanpa mengira kaum,” katanya.

Berita Harian X