Selasa, 21 Mei 2019 | 10:30pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kanan) ketika melakukan lawatan 30 tapak perniagaan yang mengalami kebakaran di Bazar Masjid India, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Biar mahkamah tentukan kes Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR: Hanya mahkamah sahaja yang berhak memutuskan projek Taman Rimba Kiara, sah atau sebaliknya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata beliau sudah buat yang terbaik untuk menangani isu projek berkenaan dan pihaknya sedang menyiapkan laporan berhubung projek pembangunan berkenaan untuk perhatian Jemaah Menteri.

Katanya, laporan itu juga akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara kerana dakwaan bekas Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini yang mempunyai kepentingan diri terhadap projek berkenaan.

“Jadi biarkan SPRM buat kerja mereka. Jika SPRM temui sebarang penyelewengan mereka akan maklumkan perkara itu kepada Peguam Negara (AG) dan AG akan teliti kes berkenaan jika mempunyai asas kukuh untuk pendakwaan, maka ia akan dirujuk ke mahkamah.

“Ia bukan tertakluk kepada keputusan saya mahupun SPRM. Sebaliknya ia diputuskan oleh mahkamah jika ada kes. Bagaimanapun, SPRM perlu menyiasat dan kemukakan bukti kukuh untuk menyokong kes berkenaan.

“Mereka perlu meyakinkan AG bahawa kes itu kuat untuk didakwa sebelum ia dirujuk ke mahkamah,” katanya selepas Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini hari ini.

Khalid mengulas mengenai kontroversi projek itu kerana mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan berkenaan.

Beliau berpandangan bahawa pihaknya sudah membuat yang terbaik untuk menangani isu ini dengan bertemu bersama pemaju, penduduk dan DBKL.

“Tak boleh jaga kepentingan sesetengah pihak sahaja. Dalam kes ini, tak boleh juga biarkan DBKL bayar pampasan kepada pemaju dengan harga yang begitu tinggi sebab wang itu milik orang ramai,” katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Berita Harian X