Rabu, 22 Mei 2019 | 10:30am

Sampul duit raya hipster jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba menyebabkan tukang jahit dan usahawan kuih tidak menang tangan menyiapkan tempahan masing-masing, malah situasi sama turut dialami pembuat sampul duit raya.

Bagi Azhafizah Md Nor, 34, kedatangan Syawal kali ini membuka pintu rezeki untuknya apabila terpaksa bersengkang mata menyiapkan hampir 7,000 sampul duit raya ditempah sejak Februari lalu berbanding 4,000 sampul tahun lalu.

Menjalankan perniagaan itu sejak 2010 dengan bantuan suami, Mohd Aidil Kamaruzzaman, 34, beliau berkata keunikan sampul duit raya yang dihasilkan terletak kepada rekaannya.

“Sampul dihasilkan dengan kertas kraf dengan pelbagai corak bermotifkan hipster selain batik, songket dan monstera leaf. Selain itu, pelanggan boleh pilih yang buatan khusus dengan meletakkan perkataan pilihan dan gambar mereka di belakang sampul.

“Sehari saya mampu siapkan 200 sampul sahaja dan hanya tidur tiga hingga empat jam sehari pada Ramadan memandangkan daripada proses gunting, lipat dan bungkus kepada pelanggan saya uruskan sendiri tanpa bantuan pekerja,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menjalankan perniagaan secara dalam talian, Azhafizah berkata sampul duit raya dijual bermula RM6 (10 keping) melalui laman sesawang http://www.azhafizah.com dan instagram (@azhafizahgraphic).

Bagi seorang lagi pereka sampul duit raya, Izzati Che Suza, 24, beliau tidak menjangka akan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan selepas hanya sekadar ‘suka-suka’ memuatnaik lakaran sampul duit raya di laman sosial miliknya.

Menurutnya, beliau mula menerima pesanan pada awal Ramadan dan kini harus menguruskan masa sebaiknya bagi menyiapkan lebih 200 tempahan sampul duit raya yang bertemakan ‘Adikku Manis Cantik Bergaya’ dan ‘Perangai Raya’.

“Bertemakan ‘Adikku Manis Cantik Bergaya’, ia menampilkan lakaran watak-watak menggayakan pelbagai fesyen ketika Aidilfitri, manakala bagi tema ‘Perangai Raya’ saya membuat rekaan suasana ketika menyambut raya.

“Selepas seminggu mengambil tempahan saya sudah tidak boleh terima pesanan lagi kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya. Memang tidak dijangka akan mendapat permintaan sebegini. Daripada proses membuat rekaan, gunting, lipat dan penghantaran kepada pelanggan semua saya buat sendiri, ia harus dilakukan dengan teliti dan agak mengambil masa,” katanya yang minat melukis sejak kecil.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, koleksi sampul raya hipster itu dijual dengan harga RM10 (lima keping) menerusi instagram dan twitter (@kobismenghijo). – BERNAMA

Berita Harian X