GOMBAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan domestik pada musim perayaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata justeru kementerian tidak boleh membawa isu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
“Saya kena berlaku adil kepada syarikat penerbangan juga. Kalau ada asas seperti aduan tindakan boleh diambil. Setakat ini, aduan berhubung perkara itu belum kita terima.
“Saya setiap hari periksa aduan pengguna kepada kementerian dan ada tiga aduan yang paling banyak diterima iaitu kenaikan harga barang, penipuan perniagaan dalam talian dan iklan yang mengelirukan,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas pelancaran wajah baharu Pasaraya Giant Batu Caves di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan BH berhubung gesaan persatuan pengguna supaya kerajaan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan, mengurangkan harga tiket penerbangan domestik menjelang Aidilfitri.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, dilaporkan berkata ramai pengguna terkesan dengan kenaikan harga tiket terbabit pada musim perayaan.
Saifuddin Nasution berkata, paling penting pengguna perlu bijak merancang untuk membeli tiket penerbangan supaya mendapat harga yang murah.
“Pilihan terletak di tangan pengguna, beli tiket awal dan pilih syarikat penerbangan yang menawarkan harga murah,” katanya.
Beliau sendiri turut membuat pembelian tiket penerbangan lebih awal dan membayar pada harga yang murah untuk penerbangan ke Kelantan dan Kedah pada musim perayaan ini.
“Untuk tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan Kedah ke Kuala Lumpur, saya hanya membayar sekitar RM1,700 bagi enam orang,” katanya.

Mengulas mengenai skim kawalan harga maksimum untuk 27 barang musim perayaan, beliau berpuashati dengan harga yang ditawarkan untuk barang berkenaan.
“Sepanjang tiga hari pelaksanaan harga barang maksimum, hasil tinjauan di dua pasar raya besar di Lembah Klang dan satu di Kelantan, saya berpuashati kerana harga ditawarkan di bawah harga maksimum.
“Sekarang berlaku keadaan yang mana harga barang pada paras munasabah dan berlaku penurunan, malah ada setengah pasar raya menurunkan harga sehingga RM5 bagi satu barang,” katanya.
Mengenai bekalan barang keperluan musim perayaan, katanya, beliau berhubung setiap hari dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengenai bekalan barang keperluan.
“Menteri berkenaan memberi jaminan bekalan mencukupi, malah secara spesifik menyatakan jumlah bekalan yang ada seperti 800 juta telur dan 25 juta biji kelapa untuk musim perayaan ini,” katanya.
KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri selama 30 hari berbanding 15 hari sebelum ini bermula Selasa lalu hingga 19 Jun ini.