Khamis, 23 Mei 2019 | 10:28pm
PRESIDEN Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia, Datuk Hanafi Mat Zin (dua dari kanan) pada sidang media mengenai keputusan kerajaan membenarkan syarikat e-hailing mengendalikan kursus lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara dalam talian adalah satu pencerobohan undang-undang. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Benarkan syarikat e-hailing kendali lesen PSV tak ikut undang-undang

KUALA LUMPUR: Majlis Piawaian Dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM) menganggap keputusan kerajaan membenarkan syarikat e-hailing mengendalikan kursus lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara dalam talian adalah satu pencerobohan undang-undang.

Presiden MAPIM, Datuk Hanafi Mat Zin berkata, mengikut Kaedah-kaedah Kenderaan Motor Institut/ Sekolah Memandu 1992 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kursus memandu perlu dikendalikan oleh institut memandu yang diiktiraf kerajaan.

“Bagaimanapun, apabila kerajaan melantik syarikat swasta yang bukan institut memandu untuk mengendalikan modul pembelajaran PSV secara dalam talian, ia sudah bertentangan serta menceroboh undang-undang yang digubal oleh kerajaan sendiri.

“Semakan pihak kami juga mendapati syarikat swasta berkenaan tidak memiliki permit sepertimana institut memandu dengan syarat-syarat khusus penubuhan institut memandu.

“Sebagai contoh mengikut akta berkenaan, sebuah institut memandu perlu menyediakan litar untuk latihan, ruang pejabat, bilik ceramah, kenderaan baharu dan tenaga pengajar yang diiktiraf JPJ.

“Sehubungan itu, saya berharap agar kerajaan menarik balik keputusan berkenaan dan sebaliknya melaksanakan tindakan mengikut peruntukkan yang sudah termaktub sejak 20 tahun lalu ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat e-hailing boleh mengendalikan kursus PSV dalam talian selagi mengikut modul yang telah ditetapkan kementeriannya.

Kerajaan memberi masa sehingga Julai ini untuk pemandu perkhidmatan e-hailing memiliki PSV.

Dalam pada itu, Hanafi berkata, pihaknya dimaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan kebimbangan syarikat e-hailing terhadap kemampuan institut memandu mengendalikan kursus berkenaan kepada lebih 300,000 pemandunya.

Katanya, alasan berkenaan tidak munasabah kerana negara memiliki 222 institut memandu yang mampu menyediakan kursus itu dalam tempoh yang ditetapkan.

“Alasan keputusan berkenaan dibuat berikutan modul pembelajaran yang disediakan terlalu panjang, ingin saya tegaskan di sini modul berkenaan disediakan oleh kerajaan sendiri.

“Mungkin mereka sudah lupa atau terlepas pandang dasar dan undang-undang yang dibuat sebelum ini.

“Jika syarikat swasta ingin mengendalikan kursus PSV, mereka perlu memohon lesen yang sah untuk bersama-sama dalam institut memandu yang lain,” katanya.

Sementara itu, Hanafi berkata pihaknya turut bersedia mengurangkan harga kursus PSV dengan potongan antara RM200 hingga RM300 semata-mata untuk mengurangkan beban pemandu teksi yang rata-rata daripada golongan B40.

“Pihak saya juga bimbang pelaksanaan lesen e-hailing secara dalam talian berkenaan akan membuka ruang dan peluang rasuah seperti lesen PSV terbang atau gerenti lulus, kerana sesiapa sahaja boleh belajar secara dalam talian tanpa penyeliaan institut memandu, tidak perlu masuk kelas dan akan diuji secara langsung dengan pihak JPJ.

“Ruang dan peluang rasuah akan berlaku apabila calon amat memerlukan lesen berkenaan untuk memandu teksi e-hailing secara sah dalam tempoh masa yang singkat yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X