Jumaat, 24 Mei 2019 | 10:28pm

'Doakan Ainul Mardhiah kembali normal'

SEPANG: “Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan doakan Ainul Mardhiah supaya kembali normal seperti bayi lain.”

Demikian kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut, ‘Germ Cell Tumor’ ketika ditemui media sebelum memasuki balai pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi,24, bersama anak mereka Ainul Mardhiah berlepas ke London malam ini bagi membolehkan bayi perempuan berusia sembilan bulan itu menerima rawatan di sana mengubati penyakit yang dihidapinya.

Terdahulu, lebih 50 ahli keluarga mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu di KLIA di sini.

Mereka dijadualkan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH002) pada jam 11.30 malam ini.

Ahmad Safiuddin berkata besar harapannya supaya rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Ainul Mardhiah kembali normal.

“Harapan saya doa dari rakyat Malaysia mudah-mudahan Ainul kembali ke sini dalam keadaan normal dan sihat,” katanya.

Sementara itu, Ainul Mardhiah kelihatan tenang dan nyenyak tidur dalam kereta sorong bayi yang ditolak bapanya.

Selain itu, difahamkan dua doktor pengiring yang juga pakar bius hospital swasta, turut bersama tiga beranak itu ke sana.

Dua doktor pengiring itu adalah individu sukarela yang menggunakan perbelanjaan mereka sendiri.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri, bersama sekumpulan pakar di negara itu, bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

AHMAD Safiuddin (kiri) dan isteri, Nurul Erwani (tengah) bersama anak mereka Ainul Mardhiah serta sebahagian ahli keluarga ketika di Balai Pelepasan KLIA untuk berangkat ke London bagi menjalani pembedahan anak mereka yang menghidap kanser mulut, ‘Germ Cell Tumor’. NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X