Ahad, 26 Mei 2019 | 6:21pm
Faridah Latif, 49 memakaikan tudung kepada cucunya, Siti Hajar Qistina Adnan, 8 di Kampung Gual Jedok. - Foto Fathil Asri
Faridah Latif, 49 memakaikan tudung kepada cucunya, Siti Hajar Qistina Adnan, 8 di Kampung Gual Jedok. - Foto Fathil Asri

Aidilfitri kali ini tidak lagi sama

TANAH MERAH: “Rindu sangat pada Mama dan adik-adik. Rasa sunyi terutama waktu malam kerana selalu tidur bersama sebelum ini,” kata Siti Hajar Qistina Adnan, 8, yang kehilangan ibu, Nur Zurita Kadir, 26, bersama dua adiknya, Muhammad Adam Mukhriz, 5, dan Siti Husna Qaisara, 4, akibat dirempuh kenderaan membawa ketum pada 7 Mei lalu.

Selepas kejadian tragis itu, Siti Hajar tinggal bersama neneknya, Faridah Latif, 49, di Kampung Gual Jedok, di sini bagi mengelak rasa sunyi, manakala bapanya, Adnan Abdullah, 27, sentiasa melawatnya di kampung.

“Saya rasa sunyi kerana tidak boleh bermain dengan adik-adik seperti sebelum ini. Sehingga kini, saya masih mengingati kejadian yang berlaku terhadap Mama dan adik-adik saya.

“Untuk Aidilfitiri ini, saya akan menyambut di rumah dua-dua nenek (sebelah ibu dan ayah). Selalunya setiap kali pagi raya, Mama akan memasak gulai ayam dan masakan Mama sangat sedap.

“Kini, saya tidak boleh lagi berjumpa Mama dan adik-adik seperti orang lain,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jedok.

Dalam kejadian 7 Mei lalu, tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta membawa ketum di Kampung Nibong, di sini kira-kira jam 7.30 pagi.

Mangsa, Nur Zurita yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama anaknya, Muhammad Adam Mukhriz dan Siti Husna Qaisara dari arah Tanah Merah ke Jeli ketika kejadian berlaku.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira yang membawa ketum dari arah bertentangan, menyebabkan ketiga-tiga mangsa melambung dan maut di tempat kejadian.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Siti Hajar Qistina berkata, setakat ini dia sudah mempunyai dua pasang baju raya yang dibeli guru sekolah dan ibu saudaranya.

Sementara itu, Faridah berkata, cucu sulungnya itu seorang kanak-kanak yang kuat biarpun kehilangan tiga orang tersayang serentak.

“Sejak kejadian itu, Siti Hajar tidak pernah bertanyakan Mama dan adik-adiknya. Saya tidak tahu bagaimana perasaan dalamannya, sama ada memendam rasa atau sebaliknya kerana Siti Hajar tidak pernah bercerita.

“Kini, saya bertanggungjawab menjaga Siti Hajar secara bergilir-gilir dengan seorang lagi neneknya di Jeli.

“Alhamdulillah Siti Hajar seorang anak yang baik dan senang untuk menjaganya. Malah, guru di sekolahnya juga memaklumkan pembelajaran Siti Hajar tidak merosot selepas kejadian itu,” katanya.

Berita Harian X