Ahad, 26 Mei 2019 | 8:19pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke melakukan flag-off pada Majlis Perlancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan di AEON Mall, Nilai. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Boleh rakam gambar kenderaan masuk lorong kecemasan

NILAI: Pengguna jalan raya boleh merakam gambar kenderaan yang dipandu di lorong kecemasan sepanjang Ops Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri ini dan menyalurkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata maklumat yang tepat dan lengkap termasuk nombor pendaftaran kenderaan serta lokasi perlu disertakan bagi memudahkan tindakan susulan diambil.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai tiada hak untuk mengambil tindakan sendiri dan perlu menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasat lanjut.

“Jika ada pemandu sengaja memandu di lorong kecemasan, kita mengalu-alukan orang ramai untuk salurkan aduan supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Ops bersepadu itu yang bertemakan 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' bermula hari ini sehingga 12 Jun.

Loke berkata, sempena perayaan Aidilfitri ini, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan larangan lima hari terhadap kenderaan berat menggunakan jalan raya bermula pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Jun ini.

“Kementerian juga akan terus meningkatkan kempen kesedaran dan memberi tumpuan penguatkuasaan di jalan persekutuan, jalan bandaran serta jalan luar bandar dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2019, sebanyak 20,829 kemalangan direkodkan dan angka itu berkurang berbanding tahun sebelumnya iaitu 21,041 kes.

Bagi tempoh sama, katanya, sebanyak 197 kematian akibat kemalangan direkodkan berbanding 208 kematian pada 2018 iaitu penurunan sebanyak 11 kes.

“Pada pandangan saya angka kematian untuk tempoh dua minggu sepanjang musim perayaan masih tinggi dan saya berharap semua pihak termasuk pengguna jalan raya berusaha membantu mengurangkan angka ini,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata pengetahuan tidak mencukupi antara faktor pemandu gagal dalam peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing).

Selain itu, katanya, ada juga calon tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai ujian berkenaan.

“Ujian ada lulus dan gagal jika semua lulus bukan namanya ujian. Pemandu perlu ada kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi (sebelum menduduki ujian). Soal gagal dan lulus itu terpulang kerana ada penilaian. Kalau nak luluskan semua nanti jadi masalah integriti," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) dilaporkan bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan PSV sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian itu.

Mengulas lanjut, Loke berkata pemandu tidak sepatutnya mengeluh kerana gagal dalam ujian itu kerana kerajaan sudah banyak membantu dalam pelbagai aspek.

“Kerajaan banyak membantu dan memudahkan pemandu sehingga saya sendiri didakwa mengambil rasuah dan salah guna kuasa kerana terlalu banyak membantu pemandu.

"Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan ada hala tuju dan akan terus bantu dan cuba permudahkan apa yang perlu," katanya.

Ditanya dakwaan GDMA yang kononnya rata-rata institut memandu belum bersedia melaksanakan kursus PSV kepada hampir 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara, beliau enggan mengulas lanjut.

"Itu saya akan jawab selepas raya," katanya.

Berita Harian X