Isnin, 27 Mei 2019 | 4:11pm
MOHAMAD Sabu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin (kiri) dan Presiden Persatuan Veteran TLDM, Senator Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid (kanan) pada sidang media Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Bilik Mesyuarat Bunga Raya Wisma Pertahanan. - Foto Saifullizan Tamadi

95,111 veteran ATM terima Bantuan Harapan Negara mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Sejumlah 95,111 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 seorang mulai hari ini sebagai usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan golongan itu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pembayaran bantuan peringkat pertama itu membabitkan peruntukan sebanyak RM47.5 juta kepada veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Pembayaran inisiatif ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan veteran yang terbabit terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

“Veteran ATM yang telah menerima surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dimohon untuk mengemas kini maklumat berkaitan dengan nombor kad pengenalan baharu dengan menghubungi pusat panggilan JHEV ATM bagi memudahkan proses kelulusan BHN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamad berkata pembayaran peringkat kedua BHN akan dilaksanakan pada Oktober.

Sementara itu, sejumlah 50 daripada 143 persatuan veteran layak menerima bantuan khas kerajaan sehingga Mei tahun ini.

Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27 persatuan sudah menerima bantuan dengan peruntukan berjumlah RM500,500.

“Bantuan ini bagi membantu persatuan menjalankan aktiviti berkaitan. Selain itu, persatuan juga diingatkan untuk memajukan laporan tahunan sebagaimana yang dikehendaki sebagai syarat untuk menerima peruntukan itu, ” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X