Isnin, 27 Mei 2019 | 10:03pm
Ainul Mardhiah ditemani ibunya Nurul Erwani Zaidi yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London. - Foto FB Ahmad Safiuddin

Doktor pakar akan menilai Ainul Mardhiah minggu ini

KUALA LUMPUR: Beberapa doktor pakar dijangka melawat dan membuat penilaian ke atas Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata doktor terdiri daripada pakar onkologi pediatrik hospital terbabit akan berbincang bagi mencari jalan terbaik merawat anaknya.

“Minggu ini, beberapa pakar di hospital ini akan melawat Ainul Mardhiah untuk melakukan pemeriksaan dan menilai keadaannya.

“Mereka perlu berbincang dan bermesyuarat berhubung cara terbaik untuk merawat Ainul Mardhiah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp malam ini.

Ahmad Safiuddin berkata, buat masa ini, Ainul Mardhiah masih lagi ditempatkan dalam mesin termal bayi dan dijangka melalui proses imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Sementara itu, menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Ahmad Safiuddin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu mempermudahkan urusan anaknya.

“Saya doakan tuan dan puan semua dirahmati, dipermudahkan urusan dan digandakan lagi rezeki. Terima kasih rakyat Malaysia kerana anda, kami dapat berada di sini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri, bersama sekumpulan pakar di negara itu, bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Berita Harian X