Rabu, 29 Mei 2019 | 9:26pm
Kegiatan pengambilan pasir di Selangor dikatakan dibayangi dan dikuasai oleh operator haram. - Foto fail

Perlombongan pasir haram di Selangor

SHAH ALAM: Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan kebimbangan berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram yang didakwa berlaku secara berleluasa di Selangor.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata sebagai negeri termaju di negara ini, kegiatan itu tidak sepatutnya terus berlaku, apatah lagi dalam era Malaysia baharu ini.

“SAM bimbang apabila baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan bahawa kegiatan pengambilan pasir lombong dan pasir sungai secara haram sudah bertahun-tahun berlaku di Selangor tanpa dikenakan tindakan.

“Kegiatan pengambilan pasir di Selangor dikatakan dibayangi dan dikuasai oleh operator haram.

“Dakwaan bahawa operator haram membayar atau lebih membimbangkan iaitu merasuah segelintir kakitangan agensi penguat kuasa adalah perkara serius,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Meor Razak berkata, jika perkara itu dibiarkan berlaku, ia akan memberi impak kepada alam sekitar kerana hasil bumi tidak diurus dengan baik serta terkawal.

“SAM menggesa tindakan yang tegas terhadap kegiatan pengambilan pasir yang dibayangi dan dikuasai operator haram mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sekiranya membabitkan ancaman dan ugutan keselamatan terhadap kakitangan agensi penguatkuasaan daripada samseng, kongsi gelap atau tonto, adalah perlu mereka melaporkannya kepada polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, langkah terbaik untuk mengekang kegiatan pengambilan pasir secara haram ialah dengan mewujudkan zon tertentu sebagai kawasan kegiatan pengambilan pasir.

“Ia bertujuan supaya memudahkan pihak berkuasa mengawal dan mengurus dengan baik bagi mengelak berlakunya impak kepada alam sekitar.

“Kawasan yang sudah dizonkan pula perlulah dimaklum kepada umum supaya memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan pengambilan pasir yang mencurigakan,” katanya.

Berita Harian X