Khamis, 30 Mei 2019 | 3:24pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-25 Mengenai Masa Depan Asia, atau Persidangan Nikkei hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia akan terus gunakan teknologi Huawei - Mahathir

TOKYO: Malaysia komited untuk kekal menggunakan teknologi syarikat gergasi China, Huawei, walaupun menyedari wujud dakwaan pengintipan terhadapnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pasaran di Malaysia terlalu kecil untuk mempunyai kesan terhadap syarikat besar seperti Huawei.

“Kita tahu Huawei mempunyai kemampuan penyelidikan dan pembangunan yang jauh lebih besar berbanding Malaysia, maka kita akan manfaatkan seberapa banyak teknologi mereka.

“Ya, mungkin benar dakwaan ada berlaku pengintipan, tetapi apa sangat nak diintip di Malaysia?

“Malaysia negara terbuka. Kalau ada pihak nak ceroboh, kita tak melawan... buang masa,” katanya dengan nada berseloroh.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) 2019 di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pengarang Ibu Pejabat Editorial Nikkei di Osaka, Sonoko Watanabe.

Perdana Menteri berkata, Amerika Syarikat (AS) dan negara barat perlu mengakui negara Asia berupaya menghasilkan produk berdaya asing dan tidak sewajarnya mengancam pesaing.

“Saya sedar Huawei semakin mengatasi perkembangan teknologi AS. Dalam hal ini, AS perlu bersaing... ada kalanya China lebih baik, ada kalanya AS lebih baik,” katanya.

Dr Mahathir berkata, tekanan AS ke atas Huawei dan penghantaran kapal perang ke Laut China Selatan, memberi gambaran negara besar itu lebih berminat untuk bersaing dengan China.

“Realitinya, kita mesti menerima AS tidak boleh selama-lamanya menjadi negara terkuat di dunia atau memiliki teknologi terhebat di dunia,” katanya.

Mengulas isu sama pada sidang media bersama Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) selepas itu, Dr Mahathir berkata, prasangka AS terhadap Huawei adalah asas untuk menekan sedangkan apa yang patut dilakukan ialah bersaing dalam bidang dikuasai.

Berita Harian X