Khamis, 30 Mei 2019 | 3:37pm
Peguam Negara, Tommy Thomas. - Arkib NSTP

1MDB: Malaysia rayu keputusan Mahkamah Dagang London

KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Menteri Kewangan Diperbadankan sudah memfailkan permohonan mendapatkan izin bagi merayu keputusan Mahkamah Dagang London ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata ia susulan keputusan Mahkamah London membenarkan permohonan mendapatkan semula AS$3.5 bilion (RM14.69 bilion) daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) diputuskan terlebih dahulu menerusi prosiding timbang tara yang tertutup.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu tidak memuaskan bagi Malaysia.

“Prosiding ini adalah langkah untuk mendapatkan semula sejumlah besar wang yang sudah dibayar oleh pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak). Kerajaan tetap menumpukan usahanya untuk memastikan aset-aset Malaysia dapat dipulihkan semula.

“Sebagaimana yang dapat dilihat daripada penghasilan aset melalui proses pemulihan aset baru-baru ini, usaha kerajaan untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Malaysia berikutan apa yang diperihalkan sebagai ‘kleptokrasi paling dahsyat’ mula membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika berjaya dalam tindakan undang-undang di United Kingdom, Malaysia dapat meneruskan usaha mendapatkan semula AS$3.5 bilion (RM14.69 bilion) yang sudah dibayar anak syarikat 1MDB kepada anak syarikat IPIC, sekali gus mengurangkan tanggungan membayar AS$5.78 bilion (RM24.16 bilion) kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon bagi tempoh lima tahun.

“Dakwaan dikemukakan di Mahkamah Dagang London ialah Surat Ikatan Penyelesaian dan Award Persetujuan sudah direka oleh Najib sebagai sebahagian daripada konspirasi untuk menipu, dan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar) tahu Najib bertindak bertentangan dengan kepentingan Menteri Kewangan Diperbadankan dan 1MDB,” katanya.

Tommy berkata, Mahkamah Dagang London sudah menolak percubaan IPIC dan Aabar untuk membatalkan permohonan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan untuk mencabar Award Persetujuan yang dipersetujui pentadbiran Najib.

“Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan IPIC dan Aabar di bawah Seksyen 9 Akta Timbang Tara United Kingdom 1996 untuk menangguhkan permohonan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan sementara menunggu prosiding timbang tara yang sedang berjalan, diputuskan,” katanya.

Beliau berkata, Hakim Knowles dari Mahkamah Dagang London berpandangan kes di hadapannya adalah satu keadaan ‘luar biasa dan mendorongnya’ untuk berasa patut, daripada sudut pengurusan kes, membenarkan isu-isu utama antara pihak didengar terlebih dahulu dalam prosiding timbang tara yang sedang berjalan.

“Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menekankan bahawa ia kekal bersedia untuk meneruskan cabaran 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan pada bila-bila masa dengan mengambil kira keadaan semasa,” katanya.

1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan Oktober lalu memfailkan permohonan di Mahkamah Dagang di London, United Kingdom bagi mencabar Award Persetujuan yang direkodkan dua pihak dari Malaysia di bawah pentadbiran Najib pada Mei 2017 dengan IPIC Aabar.

Di bawah Award Persetujuan, Malaysia dikehendaki membayar AS$5.78 bilion (RM24.16 bilion) kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon untuk tempoh lebih lima tahun, disebabkan Malaysia dikehendaki, antara lainnya, mengambil tanggungjawab penuh untuk semua bayaran faedah dan jumlah pokok di bawah dua bon dikeluarkan oleh 1MDB pada tahun 2012 yang dijamin bersama oleh IPIC.

Tommy berkata, setakat Mei ini, sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.7 bilion) sudah dibayar, meninggalkan baki sebanyak AS$4.16 bilion (RM17.46 bilion).

Berita Harian X