Khamis, 30 Mei 2019 | 8:24pm
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung ketika Program ‘High Profile Policing’ di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Jho Low dibawa balik dalam tempoh terdekat?

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, memberi gambaran pihaknya sudah bersedia untuk membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata pihaknya yakin tindakan itu dapat dibuat dalam tempoh terdekat namun, tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut maklumat mengenainya.

“Insya-Allah. Bila saya kata itu (bawa pulang Jho Low), saya yakin kita (polis) boleh bawa dia balik.

“Dalam masa terdekat pun boleh, terjauh pun boleh. Insya-Allah saya harap dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan rondaan di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, sempena program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Negara.


DATUK Seri Abdul Hamid Bador beramah mesra bersama pengunjung pada Program ‘High Profile Policing’ di Bazar Ramadan TTDI. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pada 22 Mei lalu, Abdul Hamid dilaporkan berkata PDRM mempunyai petunjuk baharu berhubung lokasi Jho Low dan akan cuba membawanya pulang.

Beliau berkata polis juga sudah lama mengetahui lokasi Jho Low yang dikatakan bersembunyi di China.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PDRM sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung skandal 1MDB.

Mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Low Hock Peng, 67; Goh Gaik Ewe, 67; dan Tan Kim Loong, 41; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Mengikut rekod, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Gaik Ewe adalah ibu bapa kepada Jho Low yang juga dalam buruan polis.

Berita Harian X