Jumaat, 31 Mei 2019 | 2:34pm
MOHD Azhar Yahaya (kiri) pada sidang media Green Incentives at Greentech Malaysia. Turut hadir Dr K Nagulendran. - Foto Rohanis Shukri
MOHD Azhar Yahaya (kiri) pada sidang media Green Incentives at Greentech Malaysia. Turut hadir Dr K Nagulendran. - Foto Rohanis Shukri

Bee Yin ke Australia bincang isu Lynas Corp

BANGI: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan ke Australia bagi membincangkan isu kilang memproses nadir bumi dari negara itu, Lynas Corp.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Dr K Nagulendran, berkata Bee Yin akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya berhubung operasi Lynas Corp dan pengurusan sisa bahan radioaktif.

Katanya, tarikh perbincangan itu belum ditentukan dan pihaknya berharap ia akan diadakan secepat mungkin selepas Kabinet Australia dibentuk susulan pilihan raya negara itu.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengumumkan bahawa Malaysia akan membenarkan kilang Lynas Corp untuk terus beroperasi, jadi bagi pihak kementerian, kita akan melihat isu sisa (yang dikeluarkan kilang Lynas),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sidang media Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya mengenai Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 2.0, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Dr Mahathir mengenai kebenaran untuk Lynas Corp terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Akhir tahun lalu, MESTECC mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF), LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.)

Nagulendran berkata, kerajaan menegaskan bahawa pihaknya akan terus menyokong industri tetapi apa yang dihadapi oleh Lynas Corp ialah isu pelupusan sisa.

Berita Harian X